Sarawak bentang bajet 2024 terbesar RM12.36 bilion dengan unjuran pendapatan RM12.7 bilion | DagangNews Skip to main content

Sarawak bentang bajet 2024 terbesar RM12.36 bilion dengan unjuran pendapatan RM12.7 bilion

Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg membentangkan Bajet negeri bagi tahun 2024 di Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching pada 20 November 2023. - Gambar UKAS

KUALA LUMPUR 20 Nov - Sarawak membentangkan belanjawan lebihan untuk 2024 terbesar pernah diadakan iaitu sebanyak RM12.36 bilion, dengan unjuran mencatatkan hasil tinggi sebanyak RM12.7 bilion.

 

Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata bajet itu dijangka menjana lebihan RM386 bilion, dengan jumlah perbelanjaan biasa diunjurkan RM12.4 bilion.

 

“Ini adalah bajet terbesar yang pernah didedahkan oleh kerajaan negeri, bukti kejayaan usaha merekayasa semula hasil dan pengurusan kewangan yang berhemat,” katanya ketika membentangkan bajet itu di Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching, hari ini.

 

Abang Johari berkata bajet negeri itu, bertemakan "Pembangunan untuk Semua: Bersama, Membina Sarawak yang Sejahtera, Mampan dan Bersatu", bertujuan untuk mencapai keseimbangan antara menyahut cabaran segera, mewujudkan lebih banyak peluang untuk rakyat Sarawak, meletakkan asas bagi ekonomi yang berdaya tahan, dan memastikan kemampanan fiskal jangka panjang.

 

"Bajet akan memberikan bantuan kos sara hidup di beberapa kawasan untuk mengurangkan beban kewangan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana, membuat pelaburan bersasar dan terus melaksanakan program dan projek penting untuk manfaat rakyat," katanya.

 

Abang Johari berkata bajet negeri 2024 akan memperuntukkan RM9 bilion untuk pembangunan, dengan RM8.9 bilion daripada dana negeri dan RM123 juta daripada pinjaman Persekutuan dan geran yang boleh dibayar balik.

 

“Bajet akan terus memperuntukkan dana kepada sektor utama bagi mempercepatkan pembangunan ekonomi dan akhirnya menjadikan ekonomi negeri makmur, teguh dan berdaya tahan,” katanya.

 

Mengenai unjuran hasil tahun depan, Abang Johari berkata Sarawak dijangka mengutip hasil cukai berjumlah RM5.7 bilion, termasuk RM3.5 bilion cukai jualan negeri ke atas minyak mentah, gas asli cecair dan produk petroleum lain.

 

Beliau berkata hasil bukan cukai dianggarkan RM6.4 bilion, termasuk RM2.9 bilion royalti minyak dan gas. - DagangNews.com