Sarawak dalam radar pelabur, Serba Dinamik paling untung | DagangNews Skip to main content

Sarawak dalam radar pelabur, Serba Dinamik paling untung

Hab Perkhidmatan Bersepadu Tenaga Bintulu dibangunkan Serba Dinamik di kawasan seluas 30 ekar di Tanjung Kidurong

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Sarawak kini dilihat berada dalam radar pelabur pada suku seterusnya terutama menjelangnya pilihan raya Sarawak pada tahun hadapan dan penglibatan aktif kerajaan dalam sektor minyak dan gas (O&G) tempatan, menurut Kenanga Investment Bank Research. 

 

Penganalisisnya, Steven Chan berkata, komitmen kerajaan ini terbukti apabila Petronas menandatangani perjanjian dengan Petroleum Sarawak Bhd. (Petros) untuk membolehkan ia memainkan peranan penting dalam industri minyak dan gas di negeri itu pada Julai 2021. 

 

Di samping itu, katanya, pelan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang memberi tumpuan kepada pelbagai inisiatif dijangka terus merancakkan aktiviti yang lebih besar di negeri tersebut. 

 

Antaranya, termasuklah hala tuju pembangunan gas asli, sejajar dengan pelan induk gas di Sabah dan Sarawak yang dimuktamadkan pada 2020 bagi menarik pelaburan baharu dalam industri berkaitan gas dan mengenal pasti pelaburan bernilai tinggi dalam industri petrokimia di kedua-dua negeri berkenaan. 

 

"Jadi, secara keseluruhan, kami mendapati kebanyakan inisiatif ini berpusat di darat, justeru, Serba Dinamik Holdings Bhd. dilihat akan meraih banyak kelebihan. 

 

"Dengan memanfaatkan Hab Perkhidmatan Bersepadu Tenaga Bintulu yang dibangunkan Serba Dinamik ini, ia berpotensi mendapat manfaat daripada kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan (O&M) kilang yang lebih tinggi sebagai hasil langsung daripada peningkatan pelaburan di negeri ini.

 

"Bagaimanapun, jika aktiviti ini semakin berkembang hingga kepada rantaian nilai luar pesisir, ia bukan sahaja boleh menguntungkan kontraktor di seluruh negara tetapi syarikat tempatan di Sarawak seperti Dayang Enterprise Holdings Bhd., Petra Energy Bhd. dan Perdana Petroleum Bhd.," katanya dalam nota kajian mengenai sektor O&G hari ini. 

 

Secara keseluruhan, Kenanga Research menyemak naik penarafan sektor O&G kepada 'overweight' berbanding 'neutral' sebelum ini.

 

Indeks tenaga mencatatkan sektor dengan prestasi terburuk di Bursa Malaysia sejak awal 2020, merosot sehingga 39% dalam tempoh tersebut. 

 

Prestasi buruk ini disebabkan oleh pandemik COVID-19, dengan setakat ini, indek berkenaan susut sebanyak 16% dan diniagakan menghampiri penilaian rendah pada -2SD di bawah min nisbah harga perusahaan (PER) hadapan. 

 

Hakikatnya, bagi sebahagian besar tahun ini, sektor itu diperdagangkan dengan perbezaan harga minyak mentah yang meningkat.

 

Bagaimanapun, Chan berkata, sejajar dengan peningkatan kadar vaksinasi, aktiviti O&G dijangka meningkat semula pada 2022, berbanding 2020-2021 apabila ekonomi dibuka semula.

 

"Malah, kami juga yakin sektor ini sedang berada di titik perubahan dengan 2022 menjadi tahun pemulihan. 

 

"Ini ditambah pula dengan perbelanjaan modal (capex) Petronas yang lebih baik sekitar RM40 hingga RM45 bilion dalam tempoh 5 tahun akan datang," jelasnya. 

 

Beliau bagaimanapun mengekalkan unjuran harga minyak mentah Brent bagi 2021 dan 2022 masing-masing sekitar AS$70 dan AS$65 setong.

 

Namun, katanya, prospek harga minyak yang agak lemah dijangka tidak menjadi perhatian, kerana harga Brent melambung di atas AS$50 setong harus mencukupi untuk mempertahankan unjuran aliran pelaburan semasa.

 

"Sebagai perbandingan, Petronas juga mengunjurkan harga minyak mentah sekitar AS$55 hingga AS$60 setong dalam tempoh 5 tahun akan datang susulan daripada keputusan pelaburan dan perbelanjaannya," jelasnya.

 

Kenanga Research memilih saham Dialog Group, Uzma Group Bhd. dan Yinson Holdings Bhd. sebagai pilihan utama dengan saranan 'outperform' dan harga sasaran masing-masing pada RM3.50, 75 sen dan RM6. - DagangNews.com