KUALA LUMPUR 31 Jan - Negeri Sarawak akan mengeksport tenaga hijau ke Singapura dan sebagai balasan, Singapura melabur dalam pembinaan pusat data, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg.
Dengan memanfaatkan keperluan tenaga Singapura dan kelebihan negeri dalam tenaga bersih, beliau menjelaskan bahawa kerjasama Singapura itu akan membantu Sarawak untuk menarik pelaburan yang memerlukan tenaga.
Abang Johari berkata, cadangan kabel kuasa bawah laut untuk mengeksport tenaga boleh diperbaharui sehingga 1GW (gigawatt) mengikut jadual untuk disiapkan pada 2032.
Pada Oktober 2023, Sarawak dilaporkan akan membina kabel bawah tanah sepanjang 720km dibina berdekatan Kuching, Sarawak dan akan melalui Indonesia sehingga Changi, Singapura.
“Apa yang kami lakukan ialah kami hanya membekalkan kuasa. Singapura akan bertanggungjawab ke atas kabel dasar laut,” katanya pada sidang media selepas acara ‘Masa Hadapan Pasaran Malaysia 2024 – Menganjak Malaysia Ke Hadapan’ pada Rabu.
Abang Johari menambah bahawa Sarawak akan terus membangunkan kekuatan dan asas ini sambil menentukan tarif yang lebih menarik.
“Dengan akses kuasa dan tarif yang menarik, lebih ramai pelabur akan datang dan apabila itu berlaku, ia akan mengukuhkan ringgit kerana ia berdasarkan penawaran dan permintaan. Jika kita ada pelaburan, nilai ringgit kita akan tinggi,” ujar beliau.
Ketika ucaptama beliau di acara tersebut, Abang Johari turut menekankan peralihan Sarawak untuk memberi lebih tumpuan kepada tenaga bersih, khususnya dalam biojisim, solar, hidro dan membangunkan empangan melata di sepanjang sungai tanpa menjejaskan alam sekitar.
Beliau berkata, tumpuan Sarawak terhadap penjanaan kuasa hidro beralih daripada model empangan berskala besar sedia ada kepada empangan melata.
"Sarawak berpotensi untuk menjana kuasa hidro sebanyak 20GW. Pendekatannya adalah dengan memanfaatkan kekayaan sungai di Sarawak. Ini membolehkan Sarawak membangunkan empangan melata tanpa menjejaskan alam sekitar,” katanya.
Selain itu, katanya, Sarawak sedang meneliti pemasangan penjanaan solar dan bersama Petroliam Nasional Bhd (Petronas), ia turut mempertimbangkan hidrogen sebagai sumber tenaga.
Menurut beliau, kerjasama dengan Petronas telah mengurangkan penggunaan kuasa untuk menghasilkan 1kg hidrogen sebanyak 30% kepada 40 kilowatt jam (kWj), daripada 60kWj sebelum ini. - DagangNews.com