Sarawak Information Systems, Ant Group teroka pembangunan perkhidmatan mudah alih Kerajaan Sarawak | DagangNews Skip to main content

Sarawak Information Systems, Ant Group teroka pembangunan perkhidmatan mudah alih Kerajaan Sarawak

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Nov - Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Ant Group Digital Technologies untuk meneroka pembangunan perkhidmatan mudah alih kerajaan.

 

Dengan memanfaatkan teknologi inovatif daripada Ant Group, syarikat penyepadu dan rumusan sistem ICT milik Kerajaan Negeri Sarawak itu akan meneroka teknikal termaju syarikat tersebut, termasuk mPaaS dan ZOLOZ eKYC.

 

mPaaS merupakan platform yang menyediakan rumusan sehenti awan-ke-hujung untuk pembangunan mudah alih, sementara ZOLOZ eKYC adalah rumusan pengesahan identiti digital dikuasakan kecerdasan buatan (AI).

 

“SAINS merancang untuk menerima pakai rumusan yang memenuhi objektif perniagaannya, termasuk meningkatkan kecekapan pembangunan, membawa ciri lebih maju dan membantu meningkatkan kestabilan, kebolehpercayaan dan kualiti perkhidmatan mudah alih,” katanya dalam satu kenyataan media bersama hari ini.

 

 

Busiai Seman dan Geoff Jiang pada majlis menandatangani MOU
(Dari kiri) Busiai Seman dan Geoff Jiang pada majlis menandatangani MoU

 

 

SAINS telah membangunkan banyak aplikasi untuk pelanggannya selama bertahun-tahun sejak penubuhannya pada 1991.

 

Antaranya, perkhidmatan mudah alih kerajaan adalah salah satu rumusan utama SAINS dalam membantu negeri itu mencapai Strategi Pembangunan Pasca Covid 19 2030 (PCDS2030) dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030.

 

Memandangkan 100% perkhidmatan kerajaan hujung-ke-hujung akan dilaksanakan menjelang 2030, rumusan pengesahan identiti digital akan menjadi keutamaan untuk memastikan transaksi digital dapat dilakukan dengan selamat.

 

“Kami teruja untuk bekerjasama dengan rakan kongsi teknologi seperti Ant Group kerana mereka mampu memberikan pengetahuan dan kepakaran dalam bidang perkhidmatan mudah alih kerajaan dan teknologi pengesahan identiti untuk membantu SAINS memenuhi keperluan pelanggannya,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif SAINS, Busiai Seman dalam kenyataan yang sama.

 

Sementara itu, Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Eksekutif Ant Group, Geoff Jiang berkata kumpulan itu teruja untuk bekerjasama dengan inovator seperti SAINS untuk membantu mempercepatkan transformasi digital dan kerjasama digital merentas industri seperti perkhidmatan awam.

 

“Kami juga yakin bahawa kerjasama ini akan memacu inovasi, kecekapan dan kepercayaan di Malaysia,” tambahnya.

 

Sehingga kini, rumusan teknologi inovatif dan terbukti Ant Group telah diterima pakai oleh pelbagai industri di Malaysia, termasuk perkhidmatan perbankan, telekomunikasi, hartanah dan perubatan.  - DagangNews.com