Sarawak isytihar dua hari berkabung atas pemergian Tun Abdul Taib Mahmud | DagangNews Skip to main content

Sarawak isytihar dua hari berkabung atas pemergian Tun Abdul Taib Mahmud

KUALA LUMPUR 21 Feb - Sarawak mengisytiharkan dua hari berkabung - hari ini dan esok - sempena pemergian bekas Gabenor Tun Abdul Taib Mahmud yang meninggal dunia pada 4.40 pagi tadi di Kuala Lumpur.


Jenazah Abdul Taib akan dikebumikan di kawasan kediamannya di Demak Jaya, Kuching.

 

Satu kenyataan dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri menyatakan jenazah Taib berusia 87 tahun, yang juga Ketua Menteri keempat Sarawak dari Mac 1981 hingga Februari 2014, akan diterbangkan pulang ke Sarawak.

 

Jenazah dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di Kuching sekitar jam 3 petang hari ini dari Kuala Lumpur dan dari lapangan terbang dibawa terus ke kediamannya di Demak Jaya di Jalan Bako.

 

Esok, jenazah Taib akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri untuk orang ramai memberi penghormatan terakhir dari jam 8 pagi hingga tengah hari.

 

Jenazah kemudiannya akan dibawa ke masjid Demak untuk disembahyangkan sebelum upacara pengebumian di tanah perkuburan keluarga di Demak Jaya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Taib, Ketua Menteri Sarawak paling lama berkhidmat dan bekas Gabenor adalah `Bapa Sarawak Moden'

 

Taib berkhidmat selama tiga penggal sebagai Gabenor dari 1 Mac 2014, hingga 26 Januari tahun ini.

 

Beliau digantikan oleh Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - DagangNews.com