Sarawak peruntuk RM104.84 juta lagi ringankan beban rakyat akibat COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Sarawak peruntuk RM104.84 juta lagi ringankan beban rakyat akibat COVID-19

 

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Kerajaan negeri Sarawak telah memperuntukkan tambahan RM104.84 juta bagi mengurangkan beban rakyatnya akibat COVID-19 dalam pelaksanaan bantuan fasa keempat. 

Bantuan Khas Sarawakku Sayang 4.0 (BKSS 4.0) itu akan dijalankan menerusi tujuh pelaksanaan sehingga penghujung tahun ini memandangkan penularan kes COVID-19 yang kian meningkat terus menjejaskan perniagaan dan kehidupan rakyatnya.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (gambar atas) berkata, dua daripada pelaksanaan itu melibatkan kesinambungan diskaun bil bekalan elektrik dan air sehingga penghujung Disember tahun ini. 

Ini akan memanfaatkan 686,847 pengguna elektrik dan 568,247 pengguna air yang dirawat di seluruh negeri Sarawak. 

“Saya berharap dengan lanjutan BKSS sehingga penghujung tahun ini akan mengurangkan beban rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik.

“Sebanyak 50% diskaun untuk skim penyewaan rumah Perbadanan Perumahan Pembangunan (HDC) Sarawak yang merangkumi tempoh tiga bulan dari Oktober hingga Disember 2020.

“Bantuan ini dijangka memanfaatkan lebih daripada 3,200 penyewa HDC di seluruh Sarawak,” katanya dalam satu sidang akhbar menurut laporan Bernama. 

Dalam pada itu, bantuan tunai RM500 yang sebelum ini diberikan kepada pemandu teksi, bas sekolah dan pengendali van, pengendali van berlesen serta bot penambang akan dilanjutkan kepada pemandu e-hailing dan tenaga pengajar memandu.

“Kabinet negeri juga bersetuju untuk melanjutkan bantuan sama kepada 2,396 pemandu e-hailing dan 791 tenaga pengajar memandu di negeri ini yang bernilai RM1.59 juta,” tambah Abang Johari. 

Sementara itu, sebanyak 50% diskaun diberikan kepada 10,000 penjaja yang menyewa pasar dan gerai majlis tempatan dilanjutkan sehingga Disember tahun ini. 

“Sejak enam bulan lalu, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah melaksanakan BKSS 1.0, BKSS 2.0 and BKSS 3.0 bernilai RM2.55 bilion dan telah memanfaatkan kira-kira 3.08 juta rakyat negeri,” katanya. - DagangNews.com