Sarawak sasar 9,000 pelancong menerusi kempen Global Sia Sitok Vacations mulai Mei hingga Julai 2023 | DagangNews Skip to main content

Sarawak sasar 9,000 pelancong menerusi kempen Global Sia Sitok Vacations mulai Mei hingga Julai 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Mei - Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) melancarkan kempen Global Sia Sitok Vacations untuk pelancong dari 1 Mei hingga 16 Julai 2023, yang melibatkan 51 peniaga dan 147 pakej melalui aplikasi EnjoySarawak.

 

Kempen anjuran STB dengan kerjasama Persatuan Hotel Malaysia itu adalah pengembangan daripada 'Sia Sitok Sarawak' kempen yang diperkenalkan pada 2020 semasa pandemik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Datu Salleh Askor berkata, pihaknya teruja memperkenalkan Sarawak kepada dunia melalui jenama tempatannya, Sia Sitok Sarawak.

 

Katanya, kempen itu penting untuk terus meningkatkan bilangan pelawat ke Bumi Kenyalang dan mempamerkan apa yang ditawarkan selaras dengan kempen bertemakan ‘Sarawak…Now More Than Ever’.

 

"Dengan kejayaan Sia Sitok Sarawak sebelum ini, kami menyasarkan 9,000 pelawat dalam tempoh tersebut, menyumbang kepada usaha kami untuk mengalu-alukan 3 juta pengunjung ke Sarawak untuk 2023," katanya dalam kenyataan.

 

Dalam pada itu, para pelancong dari Semenanjung, Sabah atau pengembara dari mana-mana di seluruh dunia boleh memuat turun dan menebus e-baucar RM100 daripada Aplikasi EnjoySarawak yang tersedia untuk dimuat turun pada platform Android dan IOS. 

 

Aplikasi ini menawarkan panduan dan tarikan yang komprehensif, penginapan, restoran, operator pelancongan Sarawak, penjagaan kesihatan, dan pengendali spa dan kesihatan, memudahkan pelawat merancang perjalanan serta memaksimumkan pengalaman mereka.

 

 

STB
                                            Sharzede Datu Salleh Askor

 

 

Global Sia Sitok Vacations adalah peluang untuk menyertai perniagaan pelancongan di Sarawak untuk menarik lebih ramai pengunjung ke negeri itu dan mempromosikan penawaran mereka.

 

Pelawat boleh menggunakan baucar tunggal bagi setiap transaksi dan kempen ini bertujuan untuk meningkatkan pertumbuhan dalam kedua-dua pasaran jarak sederhana dan jauh, dengan kehadiran berterusan.

 

Dengan edisi ke-26 Rainforest World Music Festival yang berlangsung di Kampung Budaya Sarawak dari 23 hingga 25 Jun 2023, pencinta muzik juga boleh mengambil peluang untuk merebut baucar perjalanan dan menghadiri festival untuk menikmati muzik berkualiti daripada pelbagai penghibur antarabangsa dan tempatan.

 

Untuk maklumat lanjut, layari laman web STB di www.sarawaktourism.com. - DagangNews.com