Saringan awal elak kanak-kanak alami gejala mata malas - UPM | DagangNews Skip to main content

Saringan awal elak kanak-kanak alami gejala mata malas - UPM

Seorang kanak-kanak menjalani pemeriksaan mata di Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Keluarga, Remaja dan Kanak-Kanak UPM, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Okt - Saringan penglihatan mata seawal usia lima tahun perlu dilakukan bagi mengelakkan kanak-kanak mengalami gejala mata malas (ambliopia).

 

Pakar Oftalmologi Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Muhammad Mohd Isa berkata, program saringan itu bertujuan untuk mengesan secara awal sebarang gejala penyakit itu.

 

"Pengesanan awal ini adalah bagi mengenal pasti sebarang masalah penglihatan supaya keadaan seperti mata malas dapat diberi rawatan sebelum terlambat.  

 

"Oleh demikian Jabatan Oftalmologi HSAAS UPM telah melakukan program saringan mata kepada 62 kanak-kanak berumur lima dan enam tahun di Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Keluarga, Remaja dan Kanak-Kanak (FACE) UPM, katanya dalam kenyataan media sempena Hari Penglihatan Sedunia di sini, hari ini.

 

Muhammad berkata, saringan tersebut dilakukan supaya tiada keciciran kanak-kanak pra sekolah mempunyai masalah penglihatan sebelum memasuki fasa persekolahan. 

 

"Kami juga memberi penerangan mengenai tanda-tanda awal serta masalah penglihatan yang kebiasaannya berlaku dalam kalangan kanak-kanak kepada guru-guru dan penjaga di FACE UPM serta memberi pendedahan bagaimana saringan penglihatan dijalankan kepada kanak-kanak," katanya.

 

Tambah beliau, keputusan saringan yang dibuat di FACE UPM mendapati seramai 30 kanak-kanak mempunyai tahap penglihatan di bawah paras normal.

 

 

upm
Jabatan Oftalmologi Hospital Sultan Abdul Aziz Shah UPM menjalankan pemeriksaan mata kepada 62 kanak-kanak di Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Keluarga, Remaja dan Kanak-Kanak UPM, baru-baru ini.

 

 

UPM

 

 

upm

 

 

"Kami akan memberikan pemeriksaan lebih lanjut ke fasa kanak-kanak ini untuk mengetahui status penglihatan mereka dan sebarang masalah seperti ralat refraksi mata dapat diubati bagi mencegah mata malas," katanya. - DagangNews.com