Sasaran British American Tobacco sebagai saham patuh ESG dilihat sukar - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Sasaran British American Tobacco sebagai saham patuh ESG dilihat sukar - Penganalisis

British American Tobacco (Malaysia) Bhd. telah lama meminta supaya kerajaan Malaysia mengesahkan penggunaan vape di negara ini.

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Memandangkan kerajaan belum bercadang membenarkan penggunaan vape secara sah di negara ini, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'pegang' bagi saham British American Tobacco (Malaysia) Bhd. (BAT) dengan harga sasaran pada RM15.40 sesaham.

 

Penganalisisnya, Kamarul Anwar menjangkan hasil dan pendapatan sesaham (EPS) BAT bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023 akan menurun secara beransur-ansur tanpa pelaksanaan langkah berkenaan. 

 

"Lebih lama ia ditangguhkan, akan menyebabkan BAT terus tenggelam dalam pasaran yang semakin kompetitif," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Selama bertahun-tahun, BAT memohon kerajaan Malaysia untuk mengesahkan penggunaan vape dan rokok elektronik. Ini kerana vape secara teknikalnya adalah tidak sah penggunaan di Malaysia.

 

Akta Racun 1952 menyenaraikan nikotin sebagai salah satu bahan terlarang yang boleh dikendalikan dan ditadbir oleh pengamal perubatan berdaftar sahaja.

 

Namun begitu, Kamarul berkata, vape boleh didapati di mana-mana sahaja di seluruh negara.

 

"Hanya terdapat hukuman yang kecil atau tiada langsung dikenakan terhadap pengeluar dan pengedar vape. 

 

"Dalam hal ini, kami percaya kerana ia adalah isu yang sensitif memandangkan industri ini didominasi oleh golongan bumiputera," katanya. 

 

Jumaat lalu, BAT dalam taklimat secara maya dengan penganalisis menyatakan perancangannya untuk muncul sebagai saham yang mematuhi agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). 

 

BAT juga mendedahkan bahawa berdasarkan teknikal, sahamnya berada dalam kalangan 25% teratas dalam Metodologi Penilaian ESG FTSE Russell dengan skor 3.7 daripada 5.

 

Namun, BAT belum menyertai FTSE4Good Bursa Malaysia Index. Walaupun dinilai sangat tinggi untuk tadbir urus korporatnya, satu-satunya perniagaan BAT iaitu perdagangan produk tembakau, telah melucutkan sahamnya daripada menyertai subindeks tersebut.

 

Sama ada BAT mampu memasuki indeks itu atau tidak, bergantung kepada kemampuannya mengurangkan pendedahan kepada perniagaan tembakau. 

 

"Walaupun kami hampir tidak menyebut bahawa vape boleh menjadi merit ESG yang baik buat BAT, tetapi kami melihat kebenaran penggunaan vape di Malaysia sebagai pemangkin bagi BAT. 

 

"Ini adalah kenyataan yang tidak dapat ditarik balik bahawa rokok sah menjadi jauh terlalu mahal untuk majoriti rakyat Malaysia," tambah beliau.

 

Kamarul menyifatkan pertimbangan terhadap pelaburan ESG adalah lebih subjektif berbanding penilaian saham.

 

"Bagi dana atau pelabur yang mengelakkan kaunter berasaskan tembakau, sebenarnya tidak ada gunanya berusaha meyakinkan mereka sebaliknya, atau dengan menambah vape menjadikan BAT sebagai pemain korporat yang peka terhadap sosial dan kesihatan," jelasnya.

 

Beliau berkata, bagi mereka yang berdepan dengan isu vape ini, perlu dipertimbangkan fakta dari Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Kebangsaan (NHS) United Kingdom yang mengesyorkan rokok elektronik kepada mereka yang mahu berhenti merokok. 

 

"Dalam hal ini, meskipun BAT tidak mempunyai perancangan untuk menghapuskan rokok seperti pesaingnya, Philip Morris, kami percaya dengan mengurangkan produk yang kurang bahaya dalam portfolionya, secara tidak langsung akan mengurangkan tanggungan terhadap kesihatan dan moral dalam aliran pendapatan BAT," katanya.

 

Menurutnya, dengan mengeluarkan BAT sebagai potensi pelaburan akan menghilangkan hasil keuntungan sebanyak 6.2 hingga 7% bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023.

 

"Peningkatan modal yang berpotensi terhadap saham daripada kemungkinan penggunaan vape secara sah juga dapat mengelakkan pelabur," tambah beliau. - DagangNews.com