Sasbadi raih kontrak bekal buku teks daripada Kementerian Pendidikan bernilai hampir RM12 juta | DagangNews Skip to main content

Sasbadi raih kontrak bekal buku teks daripada Kementerian Pendidikan bernilai hampir RM12 juta

Dua subsidiari Sasbadi raih kontrak lebih RM11.7 juta bekal buku teks kepada sekolah di bawah KPM.-Gambar hiasan Sasbadi Group
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Sasbadi Holdings Berhad menerusi dua anak syarikatnya menerima kontrak membekalkan buku teks daripada Kementerian Pendidikan Malaysia yang keseluruhannya bernilai RM11.7 juta.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Sasbadi berkata, kontrak pertama diraih anak syarikat milik penuhnya, Sasbadi Sdn Bhd (SSB) yang telah menandatangan dan menerima surat setuju terima daripada KPM untuk membekalkan buku teks yang dicetak semula (BCS) kepada sekolah dengan nilai kontrak RM6.88 juta.

 

Kontrak kedua pula menyaksikan anak syarikat milik tidak langsung Sasbadi, The Malaya Press Sdn Bhd (TMP) yang menandatangani dan menerima Surat Setuju Terima daripada KPM hari ini untuk membekalkan buku teks BCS kepada sekolah di bawah KPM mulai Tahun 2024 membabitkan kontrak berjumlah RM4.82 juta.

 

"SSB dan TMP dijangka menyampaikan tranche pertama Kontrak, bernilai kira-kira RM5.85 juta secara keseluruhan kepada sekolah-sekolah di seluruh Malaysia, pada suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2025. 

 

"Sehubungan itu, kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Kumpulan Sasbadi Holdings bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2025 dan seterusnya, sepanjang tempoh Kontrak ini," katanya hari ini

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kumpulan Fima raih kontrak percetakan dokumen RM93.91 juta daripada Kementerian Pendidikan

 

sasbadi

 

Sementara itu, Sasbadi berkata, syarikat tidak meramalkan sebarang risiko luar biasa selain daripada risiko operasi biasa yang berkaitan dengan Kontrak ini. 

 

"Lembaga Pengarah Sasbadi Holdings berpendapat bahawa Kontrak ini adalah dalam urusan perniagaan biasa dan demi kepentingan terbaik Syarikat," ujarnya. - DagangNews.com