KEMUDAHAN penjagaan kesihatan di negara ini adalah antara yang terbaik berikutan perbelanjaan besar yang diperuntuk kerajaan. Hospital adalah pusat pertemuan sosial yang begitu penting dalam konteks perpaduan nasional di negara ini.
Itulah tempatnya semua kaum berkumpul untuk tujuan sama - mendapat perkhidmatan kesihatan dan perubatan sama rata, tempat rakyat menaruh harapan mendapatkan rawatan sebaik mungkin.
Demi kepentingan masyarakat dan penambahbaikan perkhidmatan kesihatan di Malaysia, hospital baru terus dibina dan perkhidmatan kesihatan diperluaskan ke serata pelosok Malaysia termasuklah penubuhan beberapa hospital pengajar yang baru di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.
Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah UIAM atau lebih dikenali sebagai SASMEC @IIUM ditubuhkan secara rasmi pada 20 Julai 2016. Ia merupakan hospital pengajar ke empat di Malaysia di bawah naungan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
SASMEC @IIUM berjaya menterjemah tagline UIAM, Leading the Way dengan jayanya apabila diiktiraf dan menerima anugerah Malaysia Book of Records selepas menjadi hospital patuh syariah pertama di negara ini. Kerjasama semua pihak menjadi faktor utama SASMEC @IIUM muncul sebagai hospital pertama di negara ini patuh Syariah.
Satu syariat
Usaha ini merupakan satu pendekatan yang holistik dan menyeluruh demi memberi khidmat terbaik kepada masyarakat. Bertitik tolak dari seruan, ‘Seseorang Islam wajib untuk taat dan mengerjakan setiap perintah Allah SWT dan wajib meninggalkan apa yang dilarang olehNya.
Ajaran Islam mestilah dipraktikkan dalam segenap aspek kehidupan seharian yang mencakupi aspek hubungan dengan Pencipta, hubungan sesama manusia, dan hubungan dengan semua makhluk dan alam ciptaan Allah SWT., pihak SASMEC @IIUM mulai melihat bahawa kepentingan pematuhan Syariah dan satu fardu kifayah yang perlu dilunaskan demi masyarakat sejagat melangkaui beza budaya dan agama, dan diluaskan dalam semua aspek perawatan kesihatan dan pentadbirannya.
SASMEC @IIUM menawarkan perkhidmatan rawatan dan penjagaan kesihatan kepada semua golongan masyarakat mengikut prinsip yang telah ditetapkan dalam syariat Islam, bertepatan dengan konsep Rahmatan Lil Alamin. Ini merupakan satu konsep yang lebih luas dibandingkan dengan konsep hospital mesra ibadah.
Dalam perlaksanaan hospital patuh Syariah ini, pematuhan Syariah terhadap segala aspek dan aktiviti yang dilaksanakan di hospital bermula daripada proses pengambilan kakitangan, pemilihan petugas kesihatan sehinggalah ke proses perawatan, proses jual beli ubat dan kemudahan fasiliti, tadbir urus, proses latihan kemahiran dan proses pembayaran dan caj yang dikenakan terhadap pesakit bertepatan dengan konsep madani yang memfokuskan kepada keharmonian masyarakat majmuk, pembangunan mampan dan tadbir urus yang baik.
Nilai Teras
Perakuan dan anugerah ini juga turut menetapkan kriteria di mana Pengurusan Tertinggi harus mengenal pasti, menetapkan, mendokumentasikan, melaksanakan, memantau dan mengukur nilai teras dalam organisasi. Nilai-nilai teras ini harus disampaikan dan difahami dalam organisasi dan dilaksanakan sebagai sebahagian daripada budaya seperti yang dinyatakan dalam klausa 5.7. di bawah tajuk Pengurusan Nilai Organisasi.
Mengambil kira kepentingan nilai dalam memberi perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat dan mesra pelanggan, nilai teras perlu ada, dihayati dan dilaksanakan di SASMEC @UIAM.
Justeru, R.E.S.T.U iaitu Responsibility (Bertanggungjawab), Excellence (Kecemerlangan), Sincerity (Ikhlas), Trust (Kepercayaan) dan Unity (Perpaduan) adalah nilai teras yang telah diperakui oleh pengurusan tertinggi UIAM untuk dilaksanakan di SASMEC @IIUM demi ke arah komuniti SASMEC dan masyarakat yang sejahtera, ke arah gaya kehidupan yang lestari, mengadaptasi nilai- nilai murni dalam amalan kehidupan, sikap dan tingkah laku seharian.
Kejayaan SASMEC @IIUM membuktikan hospital pengajar universiti mampu bersaing dengan hospital arus perdana walaupun beroperasi sebagai hospital rujukan.
Pada usia tujuh tahun SASMEC @IIUM melakar sejarah yang membanggakan dan kejayaan itu menjadi landasan untuk menjadikan hospital yang lebih maju terutama dengan adanya pelbagai fasiliti terkini serta barisan tenaga pakar berpengalaman.
SASMEC @IIUM bermula dengan skala kecil dan kini kekuatan serta kualiti yang dimiliki mampu menjadikan hospital ini setanding dengan hospital awam dan swasta lain. Ini juga merupakan satu kebanggaan kepada UIAM dengan pengiktirafan yang diterima dan ia semestinya akan menjadi pembakar semangat semua kakitangan dan akan terus berusaha memberi perkhidmatan terbaik dan memuaskan bagi kepuasan pesakit,
Pelaksanaan perkhidmatan berasaskan nilai murni dan profesionalisme adalah suatu amalan yang perlu dilaksanakan sekiranya tadbir urus efektif dalam perkhidmatan ingin direalisasikan di SASMEC. Bahkan ia juga mampu menyumbang ke arah penyempurnaan status hospital patuh Syariah.
Tuntutan kepada amalan ini juga merupakan suatu amalan yang amat digalakkan dalam Islam kerana selain bertujuan untuk memberikan perkhidmatan terbaik serta memenuhi kepentingan dan kebajikan komuniti, ia juga bertujuan mengelakkan kepincangan dalam amalan perkhidmatan. Pengukuhan nilai murni dan profesionalisme dalam kalangan warga kerja SASMEC ke arah tadbir urus efektif berlandaskan syariat Islam.
SASMEC sangat komited dalam mengorak langkah untuk menjadikan perspektif halal yang memenuhi kehendak syariah Islam sebagai arah perkembangan pentadbiran perawatan kesihatan yang lebih menyeluruh.
Matlamat unggulnya ialah untuk menjadikan gaya hidup halal sebagai matlamat asas kehidupan bagi semua rakyat kerana sifat halal itu universal. Maknanya, gaya hidup halal sebenarnya diterima sebagai amalan hidup sejagat di seluruh dunia.
Sebagai satu hospital yang bukan hanya menekankan kecemerlangan perubatan dan rawatan, SASMEC juga menitikberatkan nilai-nilai kemanusiaan, merealisasikan tagline SASMEC, Helping Hands with Loving Hearts.
Ini semua atas kepercayaan yang semua lapisan masyarakat berhak mendapat akses kepada perubatan dan rawatan yang berkualiti tanpa mengira agama, bangsa dan ekonomi.
Kita sedia maklum bahawa faktor logistik dan kos menyebabkan ramai pesakit tidak dapat hadir mendapatkan rawatan di hospital, justeru, demi mendekatkan SASMEC dengan masyarakat, pelbagai perkhidmatan terus disediakan oleh SASMEC termasuk program ziarah yang berterusan ke rumah-rumah pesakit, perkhidmatan rawatan kesihatan berterusan di kampung-kampung dan kawasan pendalaman, program-program khidmat masyarakat, perkhidmatan penghantaran ubat, khidmat bantuan kos perawatan melalui Jabatan Kerja Sosial Perubatan dan beberapa bantuan sokongan yang berterusan.
Inisiatif turun padang untuk bersama masyarakat ini lebih membawa SASMEC ke hati masyarakat, untuk bersama masyarakat. Usaha ini bukan sahaja menyenangkan masyarakat mendapat akses kepada pemeriksaan kesihatan dan rawatan yang terbaik malah dapat mengeratkan hubungan dan jalinan yang baik di antara hospital pengajar dan masyarakat.
Diharap dengan inisiatif yang telah diusahakan oleh pihak SASMEC @IIUM, ia dapat dijadikan satu model ikutan oleh hospital lain dan seterusnya negara Islam serantau dan di dunia. Sangat bertepatan dengan aspirasi dan agenda UIAM dalam merealisasikan konsep Khalifah (memimpin) dan Rahmatan Lil Alamin.
Menerusi pengiktirafan tersebut, secara tidak langsung ia dapat meningkatkan keyakinan daripada masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang disediakan dan yang paling penting adalah menjadi platform penyebaran rahmat, Rahmantan Lil Alamin, kepada semua pesakit tidak kira bangsa, waris dan seluruh warga SASMEC @IIUM dan universiti.
Yang nyata, dalam kehidupan yang panjang ini, kita perlu memahami, memelihara dan mengikuti prinsip dan nilai Syariah, agar kehidupan kita lebih terpandu dan bertujuan, serta terus tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT dan prinsip-prinsip Syariah.
Semoga kelestarian dan legasi dapat diteruskan langsung kekal relevan di masa mendatang demi menegakkan syariat Islam dalam pengurusan hospital. Semoga dengan kecemerlangan serta profesionalisme yang wujud di SASMEC akan terus menjadi permata dalam sistem kesihatan di Malaysia dan terus menjadi pilihan masyarakat. - DagangNews.com
Norazilee bin Abd.Aziz adalah Timbalan Pengarah Kanan UIAM di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah @IIUM (SASMEC @IIUM), Kuantan.