Saya pernah jadi penjaja jual limau, ikan di Temerloh - PM | DagangNews Skip to main content

Saya pernah jadi penjaja jual limau, ikan di Temerloh - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap merasmikan Fiesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia di Dataran Merdeka pada 20 Oktober 2022. - Gambar Astro Awani

KUALA LUMPUR 20 Okt - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mendedahkan bahawa beliau pernah menjadi penjaja pada zaman kanak-kanaknya. 

 

Sehubungan itu, masyarakat penjaja, peniaga dan usahawan kecil begitu dekat dihatinya selain beliau faham segala kesukaran yang telah dibangkitkan penjaja kerana beliau sendiri telah melaluinya. 

 

Pada masa sama, Perdana Menteri turut mengumumkan beliau bersetuju menjadi Penaung Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia. 

 

"Saya pernah menjadi penjaja ketika sekolah rendah dengan menjual limau dan ikan di kaki lima dan Pekan Sehari Temerloh.

 

"Apa yang penjaja minta saya akan luluskan, Insya Allah. 

 

"Waktu Persatuan Penjaja tidak diletak di bawah mana-mana kementerian, di sinilah sejarah berlaku. 

 

"Seramai 10,000 penjaja hadir. Malam itu juga saya umumkan Persatuan Penjaja diletak di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan pada masa itu, saya menterinya, jadi sayalah bapa pertama Persatuan Penjaja," katanya ketika merasmikan Fiesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia di Dataran Merdeka, hari ini. 

 

Sementara itu, Ismail Sabri turut berharap Bajet 2023 yang dibentangkan 7 Oktober 2022 dapat memanfaatkan golongan penjaja dan peniaga kecil dapat dilaksanakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

 

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara tersebut hanya dapat dilaksanakan jika beliau diberi peluang sekali lagi mengetuai negara. 

 

"Sekarang, ia masih tidak boleh dilaksanakan kerana perlu dibentangkan semula dan dilulus oleh Parlimen. 

 

"Saya berjanji akan membentangkannya semula jika diberi peluang mengetuai semula kerajaan Keluarga Malaysia selepas PRU-15. 

 

"Selepas ini, banyak parti politik keluar bajet dan manifesto sendiri cuma bezanya bajet dan manifesto mereka hanya janji-janji yang belum tentu dapat dilaksanakan," katanya. 

 

Katanya, jika Kerajaan Keluarga Malaysia yang beliau pimpin mendapat semula mandat pada PRU15, antara perkara yang akan diteruskan adalah geran one-off sebanyak RM1,000 kepada semua syarikat PMKS berdaftar dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1 bilion.

 

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga mencadangkan penjaja, peniaga dan usahawan kecil boleh turut serta untuk memiliki Kad Prihatin Penjaja dan Peniaga In2NIAGA bagi membantu mereka menikmati kelebihan yang ditawarkan oleh platform In2NIAGA.

 

Insiatif tersebut antara lima program yang dilaksanakan kerajaan dengan kerjasama agensi dan persatuan, katanya.

 

Beliau berkata, inisiatif IN2NIAGA merupakan kerjasama antara Persatuan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Aeon bagi memastikan pengusaha dan pekerja dilindungi oleh insurans mampu milik melalui Perkeso dan menikmati kelebihan-kelebihan lain melalui kolaborasi strategik IN2NIAGA.

 

Katanya, kerajaan sentiasa komited bagi memastikan tiada sesiapa yang tertinggal dalam mengecapi nikmat kemakmuran negara termasuk golongan penjaja, peniaga dan usahawan kecil. 

 

"Justeru, kerajaan telah melaksanakan pelbagai program serta inisiatif bagi membantu penjaja dan peniaga kecil kembali bangkit dalam fasa pasca pandemik ini. 

 

"Pertama, Program Usahawan Muda Kota (UMK) bagi melahirkan lebih ramai usahawan muda untuk berniaga di lokasi-lokasi tumpuan dan strategik di ibu kota. Sehingga kini, sebanyak 1,252 ruang niaga atau kios telah disediakan dengan reka bentuk moden, kemas, teratur dan bersih.

 

"Kedua, pengurangan sehingga 50% sewaan premis, pengecualian sewaan tapak kepada penjaja dan peniaga kecil serta pengecualian fi lesen penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan bagi mengurangkan beban akibat pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sebelum ini," katanya.

 

Beliau berkata, ketiga, Program Pembiayaan Mikro tanpa faedah berjumlah RM50,000 ditawarkan kepada penjaja dan peniaga kecil yang melaksanakan perniagaan secara dalam talian. 

 

"Keempat, Program Pendigitalan Penjaja dan Peniaga Kecil melalui Warongku yang membantu penjaja dan peniaga kecil untuk mendigitalkan perniagaan mereka selaras dengan perubahan perniagaan semasa pasca pandemik," katanya. - DagangNews.com