SBH Marine terima kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

SBH Marine terima kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jan - SBH Marine Holdings Berhad menerima kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Kumpulan itu akan menawarkan kira-kira 180 juta saham biasa baharu dan tawaran untuk penjualan 50 juta saham biasa sedia ada dalam tawaran awam permulaan (IPO) akan datang.

 

Daripada 180 juta saham biasa baharu itu, 45 juta akan diperuntukkan untuk orang awam Malaysia melalui pengundian, 36 juta disediakan kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan SBH dan anak syarikatnya.

 

Sejumlah 61 juta saham biasa baharu pula disediakan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), manakala baki 38 juta unit akan diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Sebanyak 50 juta saham sedia ada SBH yang ditawarkan untuk dijual akan disediakan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI, kata syarikat itu.

 

Kumpulan itu terlibat dalam pemprosesan dan penjualan makanan laut beku dengan fokus kepada udang dan sotong, sotong katak dan sotong kurita. Kilang pemprosesannya yang sedia ada di Kuala Kurau, Perak mempunyai kapasiti tahunan sebanyak 4,800 tan.

 

Mereka juga menternak udang harimau hitam dan udang putih dari ladang akuakultur sedia ada yang terletak di Kuala Kurau dan Selinsing, Perak.

 

Produk SBH kebanyakannya dieksport ke luar negara Eropah dan Asia.

 

Pengarah Urusan SBH, Tan Boo Nam berkata, pihaknya amat berbesar hati untuk mengumumkan bahawa mereka selangkah lebih dekat dengan objektif penyenaraian di Pasaran ACE.

 

"Hasil daripada IPO akan memudahkan pengembangan perniagaan kami dengan membiayai pembangunan berterusan ladang Selinsing serta untuk pembinaan kilang pemprosesan makanan laut baharu di Kuala Kurau, Perak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

KAF Investment Bank Berhad merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal untuk IPO. - DagangNews.com