Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 23 Okt. - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bakal menganjurkan InvestSmart® Fest 2020 yang bertujuan melengkapkan para pelabur dengan asas-asas untuk membuat keputusan pelaburan mantap.
Bertemakan “Silap Labur Duit Lebur”, acara itu akan bermula 23 hingga 25 Oktober 2020 dan buat kali pertamanya diadakan secara maya.
Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata, InvestSmart® Fest merupakan sebuah peluang bagi rakyat Malaysia untuk mempelajari kaedah mencapai kesejahteraan kewangan, di samping meningkatkan kesedaran mereka mengenai skim penipuan yang meningkat.
SC dalam satu kenyataan berkata, InvestSmart® Fest mengetengahkan lebih 35 pempamer maya yang terdiri daripada pengantara pasaran modal, persatuan, pengawal selia dan pengendali pendanaan ramai berasaskan ekuiti, pembiayaan antara rakan setara (P2P) dan pasaran aset digital.
InvestSmart® Fest 2020 menampilkan barisan pakar-pakar industri yang ternama untuk berkongsi pandangan mengenai peluang pelaburan, pengurusan kewangan, perancangan persaraan, cara digitalisasi mempengaruhi keputusan pelaburan di samping mengingatkan orang ramai agar terus berwaspada ketika melabur.
“Setakat ini, acara tahun ini telah berjaya menarik lebih daripada 5,000 peserta. Dengan meningkatnya skim-skim penipuan, SC telah mempergiatkan kempen kesedaran pencegahan penipuan sejak tahun lalu.
“Sehingga akhir September tahun ini, SC telah menerima 370 pertanyaan dan aduan mengenai skim pelaburan tidak sah berbanding 317 pada sepanjang tahun lalu.
“SC menggesa para pelabur agar berhati-hati sebelum melabur dalam mana-mana skim yang dipromosikan di media sosial seperti Facebook dan WhatsApp Messenger. Pelabur hendaklah menggunakan pelbagai saluran yang disediakan oleh SC, seperti Senarai Berhati-Hati (Alert List), untuk mengesahkan kesahihan skim pelaburan dan status individu yang mempromosinya,” kata SC. - DagangNews.com