SC bakal perkenal Pas Emas Modal Teroka, percepat pendaftaran kepada 2 minggu | DagangNews Skip to main content

SC bakal perkenal Pas Emas Modal Teroka, percepat pendaftaran kepada 2 minggu

KUALA LUMPUR 22 April - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan memperkenalkan Pas Emas Modal Teroka untuk melicinkan proses pendaftaran bagi modal teroka antarabangsa yang layak ditubuhkan di Malaysia.

 

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, di bawah bidang kuasa ini, suruhanjaya itu akan memperkenalkan lorong hijau yang mempercepatkan pendaftaran modal teroka daripada enam minggu kepada dua minggu.

 

Katanya, ini bagaimanapun tertakluk kepada pemenuhan keperluan yang ditetapkan di bawah rangka kerja Penilaian Skop Berfokus SC.

 

“Sebagai sebahagian daripada rancangan pembangunan komprehensif, kami ingin mengalu-alukan modal teroka antarabangsa berpengalaman yang ingin mengukukuhkan kehadiran di Malaysia bagi memenuhi keperluan domestik dan serantau.

 

“Kami juga berbesar hati untuk mengumumkan penambahbaikan proses tapisan ke arah pengeluaran pas pekerjaan yang lebih pantas bagi memudahkan penempatan semula kakitangan bukan warganegara Malaysia,” katanya semasa sesi pleno pada Sidang Kemuncak KL20 2024, di sini hari ini.

 

awang
Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin

 

Menurut Awang Adek, sebagai sebahagian daripada komitmen SC untuk memupuk bakat dalam pasaran modal, suruhanjaya itu juga akan memperkenalkan program pembangunan kemahiran komprehensif yang disesuaikan dengan profesional dalam industri modal teroka dan pasaran swasta Malaysia yang lebih luas.

 

"Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC), cabang pembangunan bakat SC akan memperkenalkan pelbagai program pembinaan kapasiti," jelasnya.

 

Sementara itu, Awang Adek menekankan bahawa SC berada di peringkat akhir melancarkan pelan hala tuju 5 tahun untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan pasaran modal untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat peringkat pertengahan (MTC).

 

“Pelan hala tuju itu mengandungi lebih 30 inisiatif, merangkumi tiga tonggak utama kawal selia dan inovasi produk, infrastruktur pasaran dan pembinaan kapasiti.

 

“Pelan hala tuju itu mengambil pendekatan “keseluruhan negara”, menekankan keperluan usaha kolaboratif dalam kalangan pelbagai pihak berkepentingan untuk membuka potensi penuh PKS dan MTC sambil memupuk pertumbuhan dan pembangunan yang mampan,” tambahnya.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Pelan Tindakan KL20, satu pelan hala tuju yang menggariskan pembaharuan untuk mencapai penumpuan dalam kalangan pemegang kepentingan utama untuk mendorong sektor teknologi permulaan Malaysia.

 

Pelancaran pelan tindakan itu sempena Sidang Kemuncak KL20 2024 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.- DagangNews.com