SC gesa pemain industri kewangan Islam bekerjasama bangunkan masa depan fintech | DagangNews Skip to main content

SC gesa pemain industri kewangan Islam bekerjasama bangunkan masa depan fintech

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Sept - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menggesa pemain industri kewangan Islam bekerjasama bagi membangunkan masa depan fintech Islam.

 

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi menekankan keperluan industri untuk memikirkan semula penjenamaannya serta menumpukan kepada nilai etika prinsip Maqasid al-Shariah yang boleh mengambil perhatian khalayak yang lebih luas.

 

"Peralihan ini, kami percaya, akan membolehkan kewangan Islam menarik pelanggan dari demografi yang lebih luas tanpa menjejaskan nilai terasnya," katanya dalam ucapan perasmiannya semasa Meja Bulat FIKRAtech pada Rabu.

 

Mohammad Faiz menekankan usaha SC memupuk persekitaran yang menggalakkan inovasi, membolehkan usahawan syarikat permulaan dan peringkat awal mengakses pembiayaan pasaran. 

 

 

hhh
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi

 

Sejak 2015, beliau berkata, SC telah memperkenalkan beberapa inisiatif seperti garis panduan mengenai pasaran diiktiraf, dan pelbagai platform untuk perbincangan industri, termasuk meja bulat Fintech dan dialog dengan pemain utama.

 

Mohammad Faiz berkata, Malaysia merupakan negara pertama di rantau ASEAN yang memperkenalkan rangka kerja untuk pendanaan  ekuiti ramai(ECF) pada 2015 yang bermula dengan hanya enam pemain industri.

 

Beliau berkata, sejak itu sektor tersebut telah berkembang dengan ketara. 

 

"Dengan lebih 40 pemain merentasi pelbagai vertikal fintech, termasuk pembiayaan antara rakan setara (P2P), pertukaran aset digital dan platform tawaran pertukaran permulaan," ulas beliau. 

 

Walaupun penyedia penyelesaian Islam masih mewakili segmen kecil ekosistem crowdfunding, Mohammad Faiz berkata, kehadiran mereka semakin berkembang.

 

Beliau berkata, SC menyasarkan untuk memupuk landskap digital yang teguh dengan menawarkan rangka kerja kawal selia seimbang yang menyokong inovasi sambil mengekalkan integriti pasaran.

 

"Di Malaysia, platform ECF dan P2P telah mengumpul lebih AS$262 juta (RM1.24 bilion) bagi membangunkan projek patuh Syariah sejak tujuh tahun lalu," ujarnya.

 

Mohammad Faiz turut mengulas, jumlah itu telah berkembang pesat dari 2022 hingga 2023 dengan penyelesaian ECF/P2P Islamik di Malaysia kini menyumbang sekurang-kurangnya 24% daripada jumlah pembiayaan alternatif, berbanding hanya 8% pada 2022.

 

"Secara keseluruhannya, ECF dan P2P Islam dan bukan Islam telah mengumpul kira-kira AS$1.7 bilion (RM8 bilion), menyokong lebih 18,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS)," kata Mohammad Faiz.- DagangNews.com