KUALA LUMPUR 13 Jun - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengeluarkan edisi pertama ‘Panduan Praktikal untuk Modal Teroka dan Ekuiti Swasta di Malaysia' (Panduan) di Malaysia hari ini.
Panduan ini akan melengkapkan bakal pengurus dana modal teroka (VC) dan ekuiti swasta (PE), penyedia perkhidmatan dan pelabur dengan pengetahuan praktikal mendalam untuk mengemudi landskap dasar Malaysia yang mentadbir operasi VC dan PE.
Menurut SC, VC dan PE merupakan komponen penting dalam ekosistem pembiayaan alternatif dalam pasaran modal Malaysia.
"Firma VC dan PE memainkan peranan penting dalam membimbing syarikat baharu yang berpotensi dan syarikat berkembang pesat, yang merupakan kunci untuk memacu inovasi, peluang bagi bakat tempatan, dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia," katanya dalam kenyataan media.
Sementara itu, Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, Panduan Praktikal mengenai VC dan PE di Malaysia adalah komitmen SC untuk memupuk persekitaran yang kondusif bagi pelaburan dan inovasi.
"Dengan kejelasan mengenai landskap perniagaan Malaysia bagi firma VC dan PE, kami bermatlamat untuk membina komuniti pelabur profesional yang lebih dinamik demi menyokong usahawan di Malaysia," katanya.
Kandungan utama Panduan ini termasuk maklumat mengenai peraturan pasaran modal tempatan yang berkaitan dengan industri VC dan PE, dasar pertukaran asing, perihal percukaian, pertimbangan struktur dana dan bidang lain yang penting untuk membiayai operasi.
Penerbitan Panduan ini adalah sebahagian daripada usaha SC untuk memupuk sektor pasaran swasta yang lebih dinamik bawah Pelan Induk Pasaran Modal 3.
Ia akan meningkatkan peranan pengurus dana profesional dan membina pangkalan pelabur lebih dinamik yang mampu menyalurkan pelaburan ke arah usahawan dan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (MSME).
Usaha ini sejajar dengan usaha lebih luas SC untuk mendalamkan saluran pembiayaan berasaskan pasaran untuk MSME dan syarikat peringkat pertengahan (MTC). - DagangNews.com