SC memperluaskan kategori pelabur sofistikated, ‘Pengetahuan dan Pengalaman’ turut diperkenal | DagangNews Skip to main content

SC memperluaskan kategori pelabur sofistikated, ‘Pengetahuan dan Pengalaman’ turut diperkenal

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 5 Feb - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan peluasan kategori pelabur sofistikated termasuk memperkenalkan kategori ‘Pengetahuan dan Pengalaman’ sebagai langkah meningkatkan kebolehcapaian pasaran modal.

 

Menurut SC, Garis Panduan Kategori Pelabur Sofistikated baharu yang berkuat kuasa hari ini mengukuhkan komitmen untuk mengekalkan daya saing dan kerancakan pasaran modal, sambil menggalakkan penyertaan pelabur yang lebih ramai. 

 

Kata suruhanjaya itu, ciri utama peluasan tersebut termasuk kategori baharu yang mengambil kira pengetahuan dan pengalaman pelabur sofistikated. 

 

Di samping itu, katanya, penambahbaikan kepada kategori semasa juga dilaksanakan yang membolehkan fleksibiliti ambang kewangan sedia ada untuk individu bernilai bersih tinggi.

 

Kategori 'Pengetahuan dan Pengalaman' baharu akan memberi manfaat kepada individu yang tidak memenuhi kriteria kewangan tetapi dapat menunjukkan pengetahuan kewangan secara sofistikated bagi mengambil bahagian dalam tawaran pasaran yang berkaitan.

 

"Kategori ini menilai pelabur berpotensi berdasarkan pendidikan mereka, keahlian dalam persatuan kewangan yang diiktiraf dan pengalaman praktikal dalam sektor berkaitan seperti perbankan, pasaran modal atau insurans.

 

"Satu lagi perubahan penting ialah kemasukan nilai kediaman utama pelabur, sehingga had RM1 juta dalam menilai kelayakan mereka sebagai pelabur sofistikated.

 

"Takrifan akaun bersama juga diperluaskan untuk menggabungkan akaun dengan pasangan atau anak, termasuk jumlah pendapatan tahunan bersama bersih dan portfolio pelaburan," jelas kenyataan media SC hari ini.

 

Menurut SC, peluasan ini akan lebih menggambarkan status kewangan kolektif keluarga dan potensi pelaburan.

 

"Garis Panduan bagi Kategori Pelabur Sofistikated kini boleh didapati di laman web SC. Oleh itu, semua garis panduan yang berkaitan juga telah dikemas kini berhubung dengan rujukan kepada pelabur sofistikated," ujarnya.

 

awang adek
Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin

 

Sementara itu, Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, perkembangan pasaran modal Malaysia yang sofistikated semakin meningkat dan susulan itu, ia telah menghasilkan keperluan pembiayaan dan selera risiko pelaburan yang berbeza-beza.

 

"Kriteria pelabur sofistikated telah diperluaskan untuk mengambil kira lebih ramai individu yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan dan kestabilan pasaran.

 

"Pada tahun 2023, pasaran modal domestik meningkat kepada RM3.8 trilion daripada RM3.6 trilion pada tahun sebelumnya. Ini memberikan peluang besar kepada pasaran untuk menarik pangkalan pelabur di serantau yang lebih pelbagai dan menggalakkan aliran modal yang lebih besar ke dalam produk dan segmen pasaran yang canggih,” katanya. - DagangNews.com