SCIB terima kontrak RM97.7 juta bina kediaman pelajar Universiti Malaysia Kelantan | DagangNews Skip to main content

SCIB terima kontrak RM97.7 juta bina kediaman pelajar Universiti Malaysia Kelantan

SCIB  menerima kontrak bernilai RM97.7 juta untuk membina kediaman pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kampus Bachok./ Gambar hiasan
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 17 Jan - Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB)  menerima kontrak bernilai RM97.7 juta untuk membina bangunan kediaman pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kampus Bachok.

 

Menurut SCIB, anak syarikatnya, SCIB Industrialized Building System Sdn. Bhd. menerima surat anugerah (LOA) daripada Landasan Kapital (M) Sdn. Bhd. bagi kerja-kerja melibatkan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

 

Skop projek tersebut termasuk membekalkan bahan, buruh dan peralatan untuk pelaksanaan kerja sivil dan struktur, seni bina serta mekanikal, yang mempamerkan keupayaan pelbagai disiplin SCIB dalam sektor pembinaan.

 

umk1
UMK mempunyai tiga cawangan dengan Kampus Bachok merupakan kampus utama universiti tersebut.

 

Pengarah Urusan Kumpulan SCIB, Ku Chong Hong berkata, kontrak ini merupakan pencapaian penting bagi SCIB yang mengukuhkan reputasi syarikat sebagai pemain utama dalam EPCC di seluruh negara.

 

"Penglibatan dalam projek di Kampus Bachok, UMK mencerminkan kepakaran dan komitmen SCIB untuk memberikan perkhidmatan pembinaan berkualiti tinggi. 

 

Ku Chong
Pengarah Urusan Kumpulan SCIB, Ku Chong Hong

 

"Kami juga teruja untuk menyumbang kepada pembangunan infrastruktur pendidikan di Malaysia yang merupakan bukti dedikasi kami untuk menyokong kemajuan,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

 

Dalam kenyataan itu, SCIB berkata, kejayaan menerima kontrak tersebut bukan sahaja menekankan kepakaran SCIB dalam melaksanakan projek pembinaan berskala besar tetapi juga mencerminkan komitmen syarikat terhadap amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).


 
Menurut SCIB, pihaknya akan mempertahankan standard yang tinggi dengan memastikan kerja-kerja pembinaan mematuhi amalan lestari alam sekitar. 

 

"Kesimpulannya, SCIB melihat perkongsian ini sebagai bukti komitmen berterusan terhadap pertumbuhan dan inovasi dalam sektor pembinaan. 

 

"Walaupun kontrak ini bersifat penerokaan, ia menekankan pendirian proaktif SCIB dalam mencari usaha sama yang sejajar dengan objektif strategik jangka panjang syarikat," kata syarikat itu.

 

Pada pukul 5 petang semalam, harga saham SCIB berada pada RM0.835 dengan modal pasaran sebanyak RM534.6 juta melalui saiz buku pesanan yang besar sebanyak RM361.7 juta. - DagangNews.com