KUALA LUMPUR 5 Feb - Scientex Berhad menerusi anak syarikatnya Scientex Heights Sdn Bhd akan membeli tanah pegangan bebas dengan pertimbangan pembelian berjumlah RM200 juta untuk pembangunan bercampur di Muar, Johor.
Scientex Heights telah menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dengan Guan Hong Plantation Private Limited melibatkan 24 bidang tanah berukuran secara agregat kira-kira 442.8 hektar yang terletak di Parit Jawa.
Menurut Scientex, harga pembelian yang akan dibiayai oleh dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank itu adalah atas dasar ‘pembeli sanggup, penjual rela’ setelah mengambil kira lokasi strategik, kebolehcapaian dan kemudahan-kemudahan sedia ada sekitarnya dan prospek pembangunan.
“Berikutan kenaikan harga hartanah dan permintaan kukuh untuk rumah mampu milik daripada kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana, cadangan pengambilalihan ini merupakan peluang pelaburan strategik untuk Scientex.
“Ia dapat mencipta nilai ekonomi lebih besar dan meningkatkan potensi pendapatannya di samping memperoleh kedudukan lebih baik dan kukuh dalam pasaran hartanah Johor yang lebih mantap,” ulasnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Syarikat pemaju hartanah itu berkata, penambahan bank tanah ini juga selaras dengan matlamat kumpulan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik bagi memenuhi objektif penyiapan 50,000 rumah mampu milik di seluruh negara menjelang 2028.
“Tanah tersebut dijangka menyediakan model pembangunan hartanah yang mantap dan mampan kerana Scientex terus memberi tumpuan kepada perumahan bertanah dengan harga mampu milik didorong permintaan yang terus kekal teguh dan berdaya tahan,” tambahnya.
Kumpulan itu berkata, pembelian tanah itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan, aset bersih dan nisbah hutang kepada ekuiti kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2024 dan 2025 namun dijangka meningkatkan pendapatan Scientex pada masa hadapan.
Saham Scientex ditutup tinggi 3 sen atau 0.8% kepada RM3.89 hari ini, memberikannya permodalan pasaran bernilai RM6 bilion. - DagangNews.com