SD Guthrie mampu raih peningkatan hasil hingga 10% menerusi ladang solar - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

SD Guthrie mampu raih peningkatan hasil hingga 10% menerusi ladang solar - Kenanga Research

Ladang solar menawarkan alternatif lumayan terhadap tanah mereka. - Gambar hiasan TNB
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 10 Jun -  SD Guthrie diunjurkan mampu meraih peningkatan hasil sebanyak 5% hingga 10% dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun yang akan datang susulan penglibatan dalam perusahaan tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

Kenanga Research berkata, ladang solar SD Guthrie menonjolkan penggunaan tanah alternatif yang menguntungkan dalam sektor perladangan tetapi impak kepada sektor dijangkakan terhad kerana kebanyakan syarikat perladangan berkemungkinan besar akan terus menumpukan kepada menanam kelapa sawit.

 

"Walaupun kita gandakan kapasiti pengeluaran tenaga solar sekarang sebanyak 26 gigawatt (GW) kepada 52GW, tanah kawasan permukaan yang diperlukan hanya 40,000 hektar (0.04 juta hektar). 

 

"Sebagai perbandingan, kawasan kelapa sawit yang ditanam di Malaysia adalah seluas 5.65 juta hektar pada tahun 2023. Sasaran Malaysia melalui SEDA (Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari) untuk kapasiti solar adalah 7GW menjelang tahun 2035. 

 

"Walau bagaimanapun, ladang solar dapat membuktikan penggunaan yang menguntungkan untuk beberapa tanah terpilih bagi syarikat perladangan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada lagi 'Plantation', SD Guthrie pelbagai perniagaan daripada sawit kepada tenaga boleh baharu - Maybank IB

 

Secara umumnya, kata Kenanga Research, pemilik tanah seperti syarikat perladangan boleh terlibat dalam lodang solar melalui dua cara utama iaitu yang pertama ialah menyewakan tanah ladang mereka.

 

"Model sewa. Menyewakan tapak yang sesuai atau tidak produktif kepada ladang solar adalah mudah. Sebuah ladang solar 1GW akan memerlukan kira-kira 1,500 hektar, berpotensi memberikan pendapatan sewa tahunan selepas cukai sebanyak RM15-RM20 juta. 

 

"Sebuah ladang kelapa sawit yang berukuran sama hanya akan menghasilkan separuh daripada pulangan dalam lima tahun yang lalu walaupun penanam yang lebih baik mendapat pendapatan tahunan sebanyak RM10-RM15 juta," jelasnya.

 

Cara kedua, kata Kenanga Research adalah membangun dan menjadi pemilik ladang solar sendiri yang merupakan pilihan yang lebih menguntungkan. 

 

"Pulangan selepas cukai boleh mencapai RM100 juta setahun untuk kapasiti solar 1GW. 

 

"Memandangkan ramai penanam yang disenaraikan mempunyai modal yang cukup, ini kemungkinan besar akan menjadi pilihan mereka, walaupun mungkin tidak sebesar 1GW yang memerlukan modal awal sebanyak RM2-RM3 bilion untuk ditubuhkan," ujarnya. - DagangNews.com