SD Guthrie raih untung RM415 juta 2QFY24, naik 9% disumbangkan segmen huluan dan hiliran | DagangNews Skip to main content

SD Guthrie raih untung RM415 juta 2QFY24, naik 9% disumbangkan segmen huluan dan hiliran

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 21 Ogos - SD Guthrie Berhad memperoleh untung bersih sebanyak RM415 juta pada suku kedua tahun kewangan kewangan 2024 (2QFY24), meningkat 9% daripada suku yang sama tahun lalu.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, SD Guthrie berkata, peningkatan untung daripada RM380 juta disebabkan oleh keuntungan berulang lebih tinggi dari kedua-dua segmen huluan dan hiliran, yang mengimbangi kerugian dari transaksi bukan berulang.

 

"Pendapatan suku tahun berakhir 30 Jun 2024 itu pula bertambah kepada RM4.96 bilion daripada RM4.3 bilion iaitu peningkatan sebanyak 15%..

 

"Kumpulan mengisytiharkan dividen interim sebanyak 4.65 sen sesaham untuk FY2024," katanya hari ini.

 

Sementara itu, SD Guthrie berkata, peningkatan segmen huluan disumbangkan oleh kenaikan pengeluaran tandan buah segar (FFB) sebanyak 8% kepada 2.2 juta tan metrik, dipacu oleh pemulihan yang kuat dalam operasi Malaysia;

 

Selain itu, katanya, harga purata minyak sawit mentah (MSM) dan isirong sawit (PK) yang lebih tinggi masing-masing sebanyak 7% dan 23%.

 

sd g

 

"Kos yang lebih rendah juga menyumbang terutamanya disebabkan oleh harga baja yang lebih rendah pada suku semasa," jelas konglomerat itu.

 

Menurut umpulan itu, sektor hiliran melaporkan untung kasar yang lebih tinggi sebanyak RM225 juta pada suku semasa berbanding RM124 juta pada suku yang sama tahun lalu.

 

"Ini terutamanya disebabkan oleh keuntungan yang lebih kukuh dari semua rantau, didorong oleh permintaan volum yang lebih tinggi untuk kilang besar dan khusus di Asia Pasifik, margin yang dipertingkatkan di Eropah dan Oceania, serta bahagian keuntungan yang lebih tinggi daripada usaha sama," ujarnya.

 

Sementara tu, dalam kenyataanya, SD Guthrie meramalkan harga MSM akan kekal stabil sehingga akhir tahun selaras dengan pemulihan ekonomi global.

 

Katanya, jangkaan permintaan CPO yang berterusan juga dijangka menyokong harga kerana ia kekal kompetitif berbanding dengan minyak sayuran lain.

 

"Kumpulan menjangkakan operasi perladangan akan terus menunjukkan peningkatan, terutamanya dari operasi Malaysia selepas kejayaan usaha pemulihan intensif serta amalan agronomi yang dipertingkatkan. 

 

"Fokus yang jelas terhadap segmen perniagaan teras ini akan diperkukuh walaupun SD Guthrie secara aktif mencari peluang dalam bidang perniagaan baharu, termasuk pembangunan taman industri di pelbagai negeri dan tenaga boleh diperbaharui (RE), terutamanya ladang solar.

 

"Kecuali sebarang keadaan yang tidak dijangka, Kumpulan menjangkakan prestasinya untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024 akan memuaskan," katanya.- DagangNews.com