Sebab COVID-19, KLCI dan ringgit berakhir suram | DagangNews Skip to main content

Sebab COVID-19, KLCI dan ringgit berakhir suram

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 April - Risiko Malaysia yang dijangka mengalami gelombang keempat COVID-19 ‘menghantui’ pelabur dengan sentimen kebimbangan sekali gus menjejaskan prestasi pasaran ekuiti tempatan. 

 

Susulan itu, indeks penanda aras pasaran utama di Bursa Malaysia ditutup, jatuh di bawah paras rintangan 1,600, menyusut 10.71 mata atau 0.67% kepada 1,597.71.

 

Dagangan berprestasi negatif apabila jumlah kaunter rugi, iaitu 740 jauh mengatasi kaunter untung, 328.

 

Bursa Malaysia juga menyaksikan jumlah dagangan, 6.35 bilion dengan nilai pasaran, RM3.05 bilion.

 

Menurut Trading Economics, data perdagangan China yang stabil tidak mampu mendorong sentimen para pelabur untuk membeli ekuiti tempatan.

 

Semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan Malaysia mungkin berdepan gelombang keempat COVID-19 dengan kadar kebolehjangkitan atau R-Naught (Ro/Rt) pada 11 April lalu untuk seluruh negara kembali meningkat kepada 1.06. 

 


Di peringkat pasaran kewangan pula, ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada kadar RM4.1340/4.1360 daripada paras yang ditutup semalam,  RM 4.1320/4.1360. - DagangNews.com