Sedania tembusi pasaran Thailand | DagangNews Skip to main content

Sedania tembusi pasaran Thailand

Azrin Mohd. Noor

Azrin Mohd. Noor.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Julai - Sedania  Innovator Berhad (Sedania) melalui anak syarikatnya, Offspring Inc berjaya menembusi pasaran Thailand.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd. Noor berkata, kejayaan itu seiring dengan fokus utama Offspring untuk terus menakluki pasaran global di seluruh dunia.

 

"Pelan pengeksportan ke negara Thailand membuktikan syarikat terus komited ke arah strategi pengembangan syarikat.

 

"Saya amat yakin Offspring akan berjaya menembusi pasaran Thailand dengan rangkaian produk organik kami yang berkualiti tinggi yang dilengkapi dengan program pengedar komprehensif yang akan membantu pengedar kami memperluaskan jangkauan pasaran mereka," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sebelum ini, Offspring telah berada dalam 4 pasaran iaitu Sepanyol, Finland, Kemboja, dan Korea Selatan selain berada dalam 11 negara eksport termasuk Amerika Syarikat, Singapura, Brunei, Filipina dan Rusia.

 

Produk-produk Offspring akan dijual di laman web yang disediakan khas untuk pasaran Thailand.

 

Dalam pada itu, barangan Offspring akan turut dijual di aplikasi dan laman web terkenal seperti Shopee dan Lazada Thailand.

 

Berdasarkan data statistik penyelidikan pasaran yang dilakukan oleh Offspring Inc., jumlah kelahiran di Thailand dianggarkan sekitar 780,000 bayi baru lahir setiap tahun.

 

Kadar tersebut adalah 56% lebih tinggi berbanding anggaran kadar kelahiran di Malaysia. 

 

Susulan itu, Offspring Inc. akan memberikan tumpuan untuk mempelopori pasaran hampir RM25 juta setahun.

 

“Data tersebut memberikan peluang yang sangat cerah dan baik untuk Offspring. Kami menjangkakan Thailand akan menjadi negara eksport terulung untuk pasaran Asia," katanya lagi.

 

Sedania Innovator Berhad memiliki 51% kepentingan dalam Offspring Inc. 

 

Offspring Inc. merupakan sebuah syarikat teknologi kesihatan yang memberi tumpuan khusus pada penjagaan awal kanak-kanak, antaranya menghasilkan produk bayi organik yang berkualiti tinggi. - DagangNews.com