Segmen pembuatan, perdagangan lonjak pendapatan HPMT kepada RM24.4 juta | DagangNews Skip to main content

Segmen pembuatan, perdagangan lonjak pendapatan HPMT kepada RM24.4 juta

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 22 Nov - HPMT Holdings Berhad menjana pendapatan RM24.4 juta bagi suku ketiga tahun kewangan 2021, meningkat 31.3%, berbanding RM18.6 juta setahun lalu.

 

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, pertumbuhan tersebut didorong terutamanya oleh hasil yang lebih tinggi daripada segmen pembuatan dan perdagangan yang masing-masing meningkat sebanyak 25.0% dan 244.8%. 

 

Ujarnya, segmen pembuatan mencatatkan hasil sebanyak RM21.8 juta manakala segmen dagangan melaporkan hasil sebanyak RM2.0 juta sekaligus melonjakkan keuntungan sebelum cukai sebanyak 97.1% kepada RM5.9 juta, berbanding RM3.0 juta pada suku yang sama tahun lepas.

 

"Kami gembira dengan prestasi yang dicatatkan kerana ia telah memenuhi jangkaan kami. 

 

"Kami tetap optimis dengan berhati-hati untuk mengekalkan keuntungan dalam masa terdekat, disokong oleh keupayaan dan kepakaran kami dalam industri alat pemotong. 

 

"Memandangkan landskap ekonomi berada pada fasa pemulihan, industri alat pemotong kelihatan menjanjikan terutamanya disebabkan oleh sektor pembuatan yang memberangsangkan. Oleh itu, kami menjangkakan penggunaan alat pemotong akan terus berkembang sejajar dengan pengembangan sektor pembuatan," katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

 

Lembaga Pengarah Kumpulan turut mengisytiharkan dividen satu peringkat ketiga sebanyak 0.5 sen sesaham pada 328.5 juta saham biasa, berjumlah RM1.6 juta, yang akan dibayar pada 22 Disember 2021. 

 

Sehingga kini, HPMT telah mengisytiharkan jumlah pembayaran dividen sebanyak 1.4 sen sesaham, diterjemahkan kepada RM4.6 juta bagi tahun kewangan 2021.

 -DagangNews.com