Sektor koperasi hanya sumbang 3-4% kepada KDNK | DagangNews Skip to main content

Sektor koperasi hanya sumbang 3-4% kepada KDNK

 

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Sektor koperasi di Malaysia hanya menyumbang kira-kira 3% hingga 4% sahaja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

Bagaimanapun, purata pertumbuhan tahunan pendapatan sektor berkenaan menunjukkan peningkatan 3.97% dalam tempoh 2014 hingga 2019.

 

“Walaupun sumbangan tersebut kelihatan masih sangat rendah berbanding sumbangan sektor berkenaan di Thailand sebanyak 19% dan 26% di Vietnam, namun sektor koperasi negara masih memiliki ruang yang signifikan untuk berkembang dan meningkat dari segi nilai,” kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

 

Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Wan Junaidi Tuanku Jaafar

 

Wan Junaidi berkata demikian di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) berhubung angka sumbangan pergerakan koperasi dalam negara kepada KDNK.

 

Jelas beliau, gerakan koperasi telah berjaya menjana pendapatan sehingga RM45.7 bilion setakat 31 Disember 2019. 

 

Mengakui bahawa penularan pandemik COVID-19 memberi kesan besar kepada aktiviti dan operasi koperasi, Wan Junaidi mendedahkan sektor itu mencatatkan penurunan pendapatan sehingga 33.9%, katanya.


 

Ini disebabkan oleh kemerosotan sebanyak 32% dalam prestasi perniagaaan koperasi. 

 

Itu merupakan dapatan daripada Kajian Kesan Wabak COVID ke atas Perniagaan Koperasi oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia serta Kaji Selidik Usahawan Pasca-Covid Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, ujar beliau. 

 

Bukan itu sahaja, hanya 39% koperasi masih beroperasi manakala 17% lagi telah terhenti akibat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). - DagangNews.com