Sektor pelabuhan, logistik kekurangan pemangkin jangka pendek | DagangNews Skip to main content

Sektor pelabuhan, logistik kekurangan pemangkin jangka pendek

Pelabuhan dan logistik

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 7 April - Sektor pelabuan dan logistik negara dilihat kekurangan pemangkin dalam jangka masa pendek bagi memperkasa semula prestasi dan kedudukannya.

 

Susulan itu, Kenanga Research mengambil pendekatan untuk mengekalkan penarafan 'neutral' bagi sektor berkenaan.

 

Kenanga Research berkata, pengekalan penarafan tersebut dibuat berdasarkan kepada pemulihan pendapatan secara beransur-ansur daripada pemain industri pelabuhan bermula 2021 disebalik pelancaran vaksin COVID-19, pemulihan aktiviti ekonomi domestik dan global serta kesan permintaan terpendam.

 

"Pemulihan itu bagaimanapun berkemungkinan tidak 'licin' dan bergantung kepada seberapa baik perkembangan vaksinasi COVID-19," jelas Kenanga Research.

 

Dalam nota kajian yang sama, Kenanga Research memberitahu, bahagian pelabuhan dan domestik syarikat MMC Corporation Berhad (MMCCORP) menunjukkan prestasi peningkatan disokong oleh pemulihan ekonomi sejak pembukaan semula aktiviti perdagangan ekonomi domestik dan global.

 

"Hingga kini, portfolio pelabuhannya terdiri daripada PTP, Pelabuhan Johor, Northport, Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Tanjung Bruas.

 

"Kami tidak menolak perancangan pihak pengurusannya untuk meneruskan usaha mereka memperoleh pelabuhan tambahan bagi meningkatkan profil sebagai pengendali pelabuhan terbesar di negara ini.

 

"Menilai ke hadapan, pendapatan MMCCORP dijangka akan dipacu oleh bahagian pelabuhan khususnya PTP serta operasi dan utiliti iaitu Malakoff," jelas Kenanga Research.

 

Bagi syarikat Westports Holdings Bhd (WPRTS) pula, Kenanga Research optimis terhadap syarikat berkenaan untuk terus pulih bermula tahun ini didorong oleh vaksinasi COVID-19.

 

Bagaimanapun, jangkaan pemulihan itu perlu dinilai kepada keberkesanan program vaksinasi yang sedang berlangsung.

 

"Walaupun kami yakin bahawa WPRTS berada di landasan yang baik dengan perancangan pengembangan jumlah perdagangan, kami mengulangi dan masih berpandangan bahawa projek pengembangan itu adalah prospek jangka panjang dan bakal siap sepenuhnya menjelang 2040.

 

"Dari segi dividen, nisbah pembayaran disemak semula kepada 75% bagi tahun kewangan 2021 berbanding 60% pada tahun kewangan 2020," jelas  Kenanga Research.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan MP (market perform) bagi kedua-dua syarikat berkenaan dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM1.05 (MMCCORP) dan RM4.20 (WPRTS). - DagangNews.com