Sektor pembuatan Malaysia catat pertumbuhan kukuh 17.4% pada 2021 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Sektor pembuatan Malaysia catat pertumbuhan kukuh 17.4% pada 2021 - DOSM

oleh HUDA HASSAN

KUALA LUMPUR 23 Mac - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan sektor pembuatan Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh pada 2021 sebanyak 17.4% kepada RM1.61 trilion daripada RM1.37 trilion pada 2020.

 

Menurut DOSM, selaras dengan pengembangan keluaran kasar, input perantaraan meningkat sebanyak 18.2% kepada RM1.25 trilion pada 2021 (2020: RM1.06 trilion).

 

“Oleh itu, nilai ditambah bertukar kepada (pertumbuhan) 14.6% daripada negatif 2.9% pada tahun sebelumnya dengan mencatatkan nilai RM355.1 bilion pada 2021 (2020: RM309.9 bilion),” katanya dalam Laporan Statistik Ekonomi Tahunan 2022 - Sektor Pembuatan.

 

dosm

 

DOSM melaporkan, dari segi pengeluaran kasar mengikut subsektor iaitu petroleum, kimia, getah dan produk plastik menyumbang bahagian terbesar sebanyak 31.6% atau RM508.9 bilion, meningkat 28.2% daripada RM396.9 bilion pada 2020.

 

Tambahnya, ini diikuti dengan subsektor produk elektrik, elektronik dan optik yang menyumbang 29.3% bahagian dengan nilai RM471.9 bilion (2020: RM417.4 bilion).

 

Dari segi nilai ditambah mengikut subsektor, agensi itu berkata subsektor petroleum, kimia, getah dan produk plastik juga merupakan penyumbang utama dengan 34.3% bahagian. 

 

Nilai tambah bagi subsektor ini berjumlah RM121.8 bilion pada 2021, melonjak 25.6% daripada RM96.9 bilion pada 2020, katanya.

 

“Bilangan pekerja yang terlibat dalam sektor pembuatan meningkat sebanyak 2.5% kepada 2.3 juta orang pada 2021, sebahagian besarnya disumbangkan oleh subsektor produk elektrik, elektronik dan optik yang mencatatkan bahagian sebanyak 24.9% atau bersamaan dengan 573,675 orang.

 

“Jumlah pekerja juga disumbangkan oleh subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik (19.2%), dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam fabrikasi (15.9%),” katanya. 

 

Sementara itu, menurut DOSM, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan berjumlah RM89.5 bilion pada 2021 meningkat 3.3% berbanding tahun sebelumnya sejajar dengan peningkatan bilangan mereka yang bekerja.

 

DOSM berkata, gaji dan upah tertinggi yang dibayar dicatatkan oleh subsektor produk elektrik, elektronik dan optik pada RM27.6 bilion (30.9%), diikuti subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik pada RM19.5 bilion (21.8%), dan subsektor produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam fabrikasi pada RM13.5 bilion (15%). - DagangNews.com