Sektor penjagaan kesihatan diunjur catat keputusan lebih baik pada 2024 didorong peningkatan komuniti semakin menua - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Sektor penjagaan kesihatan diunjur catat keputusan lebih baik pada 2024 didorong peningkatan komuniti semakin menua - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 April - Sektor penjagaan kesihatan diunjur merekodkan keputusan lebih baik pada tahun ini didorong pelbagai faktor termasuk peningkatan jumlah penyakit tidak berjangkit (NCD) dan komuniti yang semakin menua.

 

RHB Investment berkata, keadaan itu juga disokong oleh kemasukan pelancong dari China dan India tanpa visa selain peningkatan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan dalam kalangan masyarakat.

 

Walaupun sektor penjagaan kesihatan secara amnya bersifat defensif, firma penyelidikan itu terus menyokong agar pelabur cenderung kepada syarikat yang mempunyai fokus kepada perniagaan berasaskan domestik memandangkan kestabilan pendapatan yang lebih baik.

 

"KPJ Healthcare Bhd kekal sebagai pilihan utama kami dalam sektor itu berdasarkan pelbagai faktor termasuk peningkatan dalam kecekapan operasi kerana hospital mereka yang masih di dalam tempoh tunggu hasil dijangkan mencapai titik pulang modal menjelang akhir 2024.

 

"Selain itu, KPJ juga giat menyertai pelbagai ekspo pelancongan kesihatan di luar negara pada tahun ini kerana mereka berhasrat untuk meningkatkan sumbangan daripada segmen itu kepada 40% daripada hasil kumpulan pada 2028," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, strategi pertumbuhan IHH Healthcare (IHH) akan diperkukuh oleh pelan pengembangan kapasiti katilnya (berusaha menambah 4,000 katil lagi) dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Bagaimanapun terdapat ketidakpastian terhadap beberapa perkara termasuk risiko kawal selia di India berhubung penyeragaman kadar penjagaan kesihatan swasta dengan sektor awam dan persekitaran hiperinflasi di Turkiye yang mengehadkan kenaikan harga saham kumpulan itu.

 

Sementara itu, RHB Investment mengekalkan pendirian bahawa segmen farmaseutikal akan mencatatkan pemulihan yang kukuh pada separuh kedua tahun ini disokong peningkatan dalam segmen produk penjagaan kesihatan pengguna (CHC) dan over-the-counter (OTC) selain mendapat manfaat daripada kesan lonjakan ketibaan pelancong asing.

 

Mereka juga menjangkakan peningkatan dalam jualan eksport selepas pembukaan semula sempadan, serta peningkatan dalam aktiviti ekonomi pada 2024 untuk memberi manfaat kepada pengeluar ubat generik di bawah liputan mereka.

 

"Kami mengekalkan saranan 'overweight' untuk sektor penjagaan kesihatan," katanya. - DagangNews.com