Selangor catat kutipan hasil RM2.571 bilion setakat 6 Disember tahun ini - MB | DagangNews Skip to main content

Selangor catat kutipan hasil RM2.571 bilion setakat 6 Disember tahun ini - MB

KUALA LUMPUR 11 Dis - Selangor mencatat kutipan hasil berjumlah RM2.571 bilion setakat 6 Disember, iaitu 128% daripada sasaran tahun ini sebanyak RM2 bilion, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

 

Beliau berkata jumlah tersebut adalah manifestasi dan bukti kesungguhan barisan penjawat awam dan anggota pentadbiran kerajaan negeri memacu ekonomi Selangor dan meningkatkan hasil untuk kepentingan rakyat.

 

“Malah, pencapaian ini mencerminkan keyakinan komuniti pelaburan serta rakyat Selangor terhadap sikap dan tanggungjawab kerajaan Selangor dalam merancang dan mengagihkan kekayaan negeri secara berkesan dan bersasar,” katanya.

 

Amirudin berkata tahun lepas sumbangan Selangor kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara terus meningkat kepada 25.5% sambil menambah baik peranannya sebagai negeri yang menyumbang lebih satu perempat kepada KDNK negara.

 

 

Datuk Seri Amirudin Shari menyampaikan Sembah Ucapan Taat Setia sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-78 Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang hari ini
Datuk Seri Amirudin Shari menyampaikan Sembah Ucapan Taat Setia sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-78 Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang hari ini. [Foto Facebook Bernama]

 

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Sembah Ucapan Taat Setia sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-78 Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang hari ini, lapor Bernama.

 

Amirudin turut memaklumkan mengenai Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) yang bakal dibangunkan dalam kawasan berkeluasan lebih 16,187 hektar oleh kerajaan negeri.

 

“Kerajaan Tuanku juga berhasrat untuk mewujudkan perbandaran baharu di kawasan IDRISS seperti Shah Alam dan Bangi yang akan didiami terutamanya oleh orang Melayu dan kanak-kanak,” katanya.

 

Selain itu, kerajaan negeri akan memulakan proses Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama yang akan menggariskan beberapa inisiatif pemulihan ekonomi seperti pembangunan Dron Selangor dan Pusat Kecerdasan Buatan Selangor.

 

Amirudin berkata kajian itu turut melibatkan rancangan memperkasa sistem pengangkutan awam dengan membangunkan Jajaran Rel Kita Selangor dari Klang ke Kuala Selangor dan seterusnya ke Tanjong Karang dan Sabak Bernam bagi membolehkan penduduk menetap di kawasan Pantai Barat mendapat akses ke kawasan ekonomi maju di Lembah Klang dan Kuala Lumpur. - DagangNews.com