Selangor, KL dan Sarawak paling banyak terima pelawat domestik pada 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Selangor, KL dan Sarawak paling banyak terima pelawat domestik pada 2023 - DOSM

Sarawak antara negeri terima kunjungan pelawat domestik tertinggi pada 2023, lapor DOSM.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 12 Jun - Selangor muncul sebagai negeri dikunjungi paling ramai pelawat domestik pada tahun 2023, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia.

 

Ketua Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, Selangor merekodkan 27.6 juta pelawat domestik pada tahun lalu manakala Kuala Lumpur dan Sarawak masing-masing menerima 22.2 juta dan 17.9 juta pelawat domestik.

 

Menurut beliau, jumlah pelancong domestik yang berkunjung ke negeri Johor menunjukkan peningkatan yang ketara iaitu sebanyak 42.7 peratus bagi merekodkan 8.92 juta pelancong berbanding tahun sebelumnya, 6.25 juta pelancong.

 

Katanya, secara keseluruhannya, jumlah pelawat domestik pada 2023 melonjak 24.6% untuk mencatatkan 213.7 juta pelawat berbanding 171.6 juta pelawat pada tahun 2022.

 

"Jumlah perjalanan domestik menunjukkan peningkatan ketara di mana pelawat domestik telah melakukan 241.5 juta perjalanan di dalam negara pada tahun 2023, melonjak 16.2% berbanding tahun sebelumnya. 

 

"Namun begitu, purata bilangan hari menginap (ALOS) menurun kepada 2.45 malam berbanding 2.55 malam pada tahun sebelumnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

dosm1

 

DOSM hari ini mengeluarkan Survei Pelancongan Domestik Malaysia (DTS) 2023 dan Buletin DTS bagi suku pertama 2024.

 

Menurut Dr Mohd Uzir, prestasi tahunan pelancongan domestik di Malaysia mengalami peningkatan yang drastik pada 2023 dengan jumlah perbelanjaan mencatatkan RM84.9 bilion, berbanding RM64.1 bilion pada 2022. 

 

uzi
DR MOHD UZIR MAHIDIN

 

Katanya, prestasi yang memberangsangkan bagi perbelanjaan ini didorong oleh peningkatan jumlah perbelanjaan oleh pelancong, 34.4% dan pelawat harian, 29.7%, di mana perbelanjaan pelancong adalah penyumbang majoriti iaitu sebanyak 61.5% (2022: 60.7%). 

 

"Perbelanjaan tertinggi pelawat domestik adalah untuk membeli-belah dengan sumbangan sebanyak 36.3% (2022: 38.9%), diikuti oleh makanan & minuman, 16.3% (2022: 15.2%) dan pembelian bahan api kenderaan, 13.2% (2022: 13.8%). 

 

"Melawat saudara-mara & rakan-rakan kekal sebagai penyumbang utama bagi tujuan pelancongan domestik iaitu 33.6% (2022: 33.7%), namun ia masih belum mengatasi peratusan yang dicatatkan pada tahun pra-pandemik iaitu 42.3%. 

 

"Membeli-belah kekal sebagai tujuan kedua dengan sumbangan 32.6% (2022: 29.9%)," jelasnya.

 

dosm 2

 

Sementara itu, Dr Mohd Uzir berkata, perbelanjaan pelancongan domestik bagi suku pertama 2024 merekodkan RM24.1 bilion, melonjak 25.3% tahun ke tahun. 

 

"Bilangan pelawat domestik di Malaysia mengalami lonjakan yang ketara untuk merekodkan 58.6 juta pelawat domestik bagi suku pertama 2024, meningkat 19.0% berbanding suku yang sama tahun sebelumnya. 

 

"Sementara itu, bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, pelawat domestik meningkat 6.5% berbanding suku keempat 2023," ujarnya. - DagangNews.com