Selepas berjaya mendaratkan pesawat angkasa di bulan, PM Anwar ucap tahniah kepada Perdana Menteri India | DagangNews Skip to main content

Selepas berjaya mendaratkan pesawat angkasa di bulan, PM Anwar ucap tahniah kepada Perdana Menteri India

Tangkap layar video siaran langsung yang disiarkan di laman web Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO) menunjukkan detik Chandrayaan-3 mendarat di kutub selatan bulan, semalam.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi atas kejayaan mendaratnya pesawat ruang angkasa, Chandrayaan-3 di kutub selatan bulan yang belum pernah diterokai manusia, semalam.

 

Menurut hantaran di laman Facebook, Perdana Menteri berkata, rakyat Malaysia turut tumpang gembira dan berbangga atas pencapaian tersebut.

 

“India kini telah menawan bulan, dan saya melihat kejayaan ini tidak hanya kejayaan India semata tetapi juga kejayaan buat Asia dan segenap warganya.

 

“Ternyata ini adalah The Asian Century,” katanya menerusi hantaran tersebut.

 

Semalam, India berjaya mendaratkan kapal angkasa Chandrayaan-3 di bulan sekali gus menjadikannya negara keempat di dunia yang menempa kejayaan sedemikian.

 

nuar

 

Sebelum ini, hanya Amerika Syarikat, China dan bekas Kesatuan Soviet berjaya melakukan pendaratan di permukaan bulan.

 

Tapak pendaratan Chandrayaan-3 lebih dekat dengan kutub selatan bulan berbanding kapal angkasa lain dalam sejarah penerokaan.

 

Misi Chandrayaan-3 dilancarkan pada pertengahan Julai lalu dan mengorbit bumi beberapa kali bagi meningkatkan kelajuan yang diperlukan untuk perjalanannya.- DagangNews.com