KUALA LUMPUR 22 Dis - Selgate Properties Sdn. Bhd. iaitu bahagian pembangunan hartanah Selgate Corporation Sdn. Bhd. memeterai perjanjian usaha sama dengan Chulia Facilities Management Sdn. Bhd. (Chulia) bagi bersama-sama dalam pengurusan kemudahan Selgate Healthcare.
Perjanjian usaha sama itu akan mendorong kepada penubuhan Selcare Chulia FM Sdn. Bhd. untuk meneroka dan memperluaskan perkhidmatan Selgate Properties dan Chulia dalam pengurusan fasiliti dalam semua industri untuk sektor awam dan swasta di Malaysia terutama dalam pengurusan kemudahan penjagaan kesihatan.
Selgate menyasarkan untuk mencari rakan kongsi strategik untuk bekerjasama dalam pengurusan pelbagai kemudahan penjagaan kesihatannya.
Chulia mempunyai kepakaran dan pakar dalam pengurusan kemudahan penjagaan kesihatan dalam industri penjagaan kesihatan awam dan swasta selama lebih 20 tahun.
Pengerusi Selgate Properties, Datuk Noor Hisham Mohd Ghouth berkata, fokus utama pengurusan kemudahan penjagaan kesihatan adalah untuk memastikan persekitaran penjagaan yang baik dan keselamatan pesakit dan tenaga kerja.
"Semasa melalui pandemik COVID-19 dan dengan peningkatan jangkaan dari segi keselesaan, perkhidmatan, perubahan dalam teknologi dan ekonomi yang beralih antara lain, mengurus kemudahan penjagaan kesihatan menjadi semakin penting dan mencabar,” katanya pada majlis menandatangani jalinan kerjasama itu.
Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Urusan Kumpulan Chulia, Shahfie Ahmad dan Pengarah Eksekutif, Shaiful Bahri Jalil.
Beliau berkata, melalui perkongsian itu, Selgate boleh memanfaatkan pengkhususan Chulia dalam pengurusan kemudahan penjagaan kesihatan supaya kedua-dua pihak dapat terus memenuhi keperluan dan permintaan bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi. - DagangNews.com