Sentiasa ada risiko, nahas udara babitkan helikopter baharu boleh berlaku | DagangNews Skip to main content

Sentiasa ada risiko, nahas udara babitkan helikopter baharu boleh berlaku

Pesawat HOM AW139 TLDM jenis sama yang terbabit nahas di Lumut.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 25 April - Nahas udara membabitkan helikopter baharu atau yang telah dinaik taraf bukan sesuatu yang luar biasa memandangkan risiko penggunaan aset tersebut dipengaruhi banyak faktor.

 

Selain aspek teknikal, risiko berlaku kemalangan adalah disebabkan cuaca, perkiraan keadaan semasa terbang termasuklah kesilapan manusia.

 

Faktor sebenar bagaimana pun hanya dikenalpasti setelah badan penyiasat udara melakukan kajian terperinci daripada pelbagai sudut.

 

Justeru, tiada pertikaian sepatutnya mengapa Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang baru berusia tiga tahun boleh terbabit nahas di Lumut kelmarin.

 

Helikopter
Helikopter SH-60K milik JSMDF

 

Tiga hari sebelum nahas yang menimpa TLDM, Pasukan Pertahanan Laut Jepun (JMSDF) kehilangan dua helikopter Mitsubishi SH-60K dengan dua maut manakala 6 masih hilang.

 

Helikopter itu terhempas ke Lautan Pasifik semasa latihan pada waktu malam selepas dipercayai berlanggar antara satu sama lain.

 

Dua helikopter peronda SH-60K yang beroperasi dari kapal pemusnah tentera laut ini sedang menjalankan latihan antikapal selam.

 

 

Sehingga kini operasi mencari mangsa-mangsa yang hilang masih diteruskan.

 

Mitsubishi membangunkan helikopter ini secara berlesen daripada firma Sikorsky berasaskan rekaan pesawat SH-60 Seahawk pada tahun 2002.

 

Helikopter

 

Helikopter Mitsubishi SH-60K JMSDF telah dinaik taraf sejak beberapa tahun lalu dengan enjin baharu serta peralatan sonar untuk operasi antikapal selam.

 

Berbeza dengan HOM AW139, operasi helikopter Mitsubishi SH-60K lebih berisiko kerana operasi menjejak kapal selam bukan mudah terutamanya di laut lepas.

 

Pada Jun 2021, tentera Filipina kehilangan sebuah helikopter S70-i tidak sampai setahun digunakan apabila terhempas semasa melakukan latihan mengorbankan 6 orang termasuk juruterbang.

 

Nahas berlaku semasa helikopter tersebut menjalani latihan penerbangan malam.

 

Helikopter
Sebuah helikopter S70-i Black Hawk Filipina terhempas semasa latihan setelah setahun digunakan.

 

Filipina membeli 16 buah helikopter S70-i Black Hawk buatan Poland yang diterima secara berperingkat-peringkat pada tahun 2020.

 

Nahas yang berlaku tidak merencatkan pembangunan tentera udara negara itu apabila Manila pada tahun lalu membuat pesanan 32 buah lagi helikopter sama.

 

Ini kerana S70-i Black Hawk merupakan helikopter bersaiz 10 tan yang baik dan sangat praktikal bagi kegunaan pelbagai operasi.

 

Sebelum insiden terbaharu di Lumut ini cuma ada dua nahas membabitkan helikopter AW139 di negara kita membabitkan pengguna berbeza.

 

Helikopter
Keadaan helikopter AW139 PDRM yang terbabit nahas di Tawau.

 

Pada 5 Mac, helikopter AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia terhempas selepas mendarat cemas berhampiran Pulau Angsa ketika melakukan latihan menyelamat.

 

Empat penumpang termasuk juruterbang selamat.

 

Tiga tahun sebelumnya, helikopter AW139 Polis Diraja Malaysia membawa enam anggota terhempas di Kem Batalion 14 Pasukan Gerakan Am di Tawau, Sabah 

 

Hanya seorang cedera manakala yang lain selamat.

 

Helikopter

 

Helikopter itu dipercayai cuba mendarat di kawasan helipad, namun hilang kawalan sebelum melanggar atap bangunan unit pentadbiran K9 di kem berkenaan.

 

Model AW139 merupakan helikopter saiz sederhana yang terbaik dalam kelasnya dan turut digunakan Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan lebih 900 pesawat telah dibina.

 

TLDM menerima tiga buah pesawat HOM AW139 pada 2021 dan ditempatkan di Markas Pemerintahan Armada Timur, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. - DagangNews.com