KUALA LUMPUR 30 Mei - Sentoria Group Bhd mengumumkan tugas dan fungsi ketua pegawai eksekutif kumpulan Datuk Loh Yuen Tuck telah digantung berkuat kuasa serta-merta.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, tempoh penggantungan tersebut hendaklah untuk tempoh tiga bulan dan akan berbeza-beza bergantung kepada syor akhir oleh Pasukan Penyiasat Luar (EIT) yang akan dilantik secepat mungkin.
EIT hendaklah memastikan bidang dan keseriusan salah laku Loh serta mengesyorkan penyelesaian.
Siasatan itu hendaklah meliputi ketidakhadirannya di pejabat tanpa notis mulai 17 Mei 2024; penyalahgunaan kedudukan dan kuasa; dan salah nyata dan penyelewengan lain, kata Sentoria.
Tugas dan tanggungjawab sedia ada Loh akan diambil alih oleh pengarah urusan bersama syarikat.
Syarikat itu juga mengumumkan pada 28 Mei, dua pengarah bebas iaitu Datuk Abdul Rahman Iman Arshad dan Dr Lim Zhao Qi meletak jawatan.
Peletakan jawatan Lim adalah atas alasan urusan peribadi dan kewajipan kepada entiti yang lain. Walaubagaimanapun tiada alasan diberikan untuk peletakan jawatan Abdul Rahman yang berkuat kuasa pada 31 Mei 2024.
Harga saham Sentoria ditutup sembilan peratus lebih tinggi pada enam sen pada Rabu, memberikannya permodalan pasaran RM37.3 juta. - DagangNews.com