Sentoria janji projek sakit di Morib disiapkan Jun 2024 selepas dapat pelepasan sementara daripada KPKT | DagangNews Skip to main content

Sentoria janji projek sakit di Morib disiapkan Jun 2024 selepas dapat pelepasan sementara daripada KPKT

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 5 Feb - Sentoria Group Berhad (Sentoria) menerima pelepasan sementara daripada senarai pembangunan perumahan tertunda (kategori projek sakit) daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi projek Orked iaitu pembangunan rumah teres di Teluk Morib, Selangor.

 

Menurut Sentoria, dengan kelulusan KPKT ini, pihaknya dapat mempercepatkan pembinaan projek tersebut yang merangkumi 148 unit rumah teres satu tingkat dengan 126 unit sudah terjual.

 

Ia dijangka dapat disiapkan menjelang Jun 2024, lengkap dengan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sentoria, Datuk Loh Yuen Tuck berkata, keputusan KPKT itu merupakan satu titik tolak penting untuk menyiapkan projek pembangunan di Morib.

 

“Kami amat mengalu-alukan dan menghargai berita baik ini. 

 

"Pelepasan ini menjadi titik tolak penting di mana kami kini diberikan sokongan yang amat diperlukan untuk menyelesaikan projek pembangunan kritikal kami di Morib, yang sudah tentunya memanfaatkan pelanggan yang dihargai,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Yuen Tuck berkata, Sentoria bersungguh-sungguh mahu menyiapkan projek berkenaan sekaligus membuktikan komitmen kepada pelanggan, khususnya dalam rangka inisiatif Rumah Selangorku. 

 

"Buat semua warga Selangor, Sentoria berikrar untuk memastikan rumah yang anda dambakan bakal menjadi milik anda tidak lama lagi,” jelasnya.

 

Justeru, katanya, sokongan daripada KPKT bukan sahaja mempercepatkan penyiapan projek sedia ada tetapi juga membuka laluan untuk Sentoria menyambung semula pembangunan projek yang telah tertangguh sebelum ini.

 

Selain projek Orkid, dua lagi projek Sentoria di Teluk Morib iaitu projek Seroja dan Mawar telah habis dijual, dijangka siap pada suku pertama 2024. 

 

morib

 

Jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) bagi ketiga-tiga projek ini dijangka mencecah RM80 juta.


Sementara itu, mengulas perkembangan pemulihan korporat syarikat, Yuen Tuck mengesahkan bahawa Sentoria telah berjaya meyerahkan cadangan kepada Bursa Malaysia yang mengandungi dua inisiatif saling terkait iaitu Penyatuan Saham dan Bon Boleh Tukar Boleh Tebus (RCB). 

 

"Cadangan ini bertujuan untuk mempamerkan komitmen Sentoria dalam menstruktur semula modal dan meningkatkan kecairan di pasaran saham. 

 

"Hal ini lantas akan memberi isyarat positif kepada pasaran, sekaligus membuktikan keupayaan Sentoria untuk memuktamadkan pembangunan projek sedia ada serta menjamin pembiayaan projek akan datang," katanya.

 

Notis pelepasan itu dilihat tepat pada masanya, selari dengan proses pemulihan korporat Sentoria yang menyaksikan pelantikan pengurusan kanan yang baru di samping penstrukturan semula lembaga pengarah bagi memacu kumpulan ke hadapan. - DagangNews.com