KUALA LUMPUR 25 Julai - Sentral REIT telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat (SPA) untuk mengambil alih Menara CelcomDigi dengan harga RM450 juta.
Menara 27 tingkat yang terletak di Petaling Jaya Sentral itu akan diambil alih daripada Puncak Wangi Sdn Bhd iaitu anak syarikat Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan dijangka selesai pada penghujung tahun 2023 selepas mendapat semua kelulusan yang diperlukan dan penyelesaian pembiayaan hutang dan cadangan penempatan.
Sentral REIT dalam satu kenyataan media hari ini berkata, pengambilalihan itu dijangka mengembangkan jumlah saiz asetnya sebanyak 21% daripada RM2.15 bilion pada 31 Disember 2022 kepada kira-kira RM2.6 bilion, apabila dimuktamadkan kelak.
“Pembelian hartanah tersebut akan dibayar sepenuhnya secara tunai yang akan diperoleh melalui gabungan pelaksanaan pembiayaan ekuiti dan hutang,” katanya.
Bagi pembiayaan ekuiti, kumpulan itu berkata cadangan penempatan melibatkan sehingga 123.72 juta unit bakal dikemukakan kepada pelabur institusi yang akan dikenal pasti kelak, pada harga terbitan yang akan ditentukan melalui proses penetapan harga.
Sebagai sebahagian daripada cadangan penempatan itu, MRCB akan melanggan penempatan sehingga lebih 34.57 juta unit untuk mengekalkan peratusan pegangan unit semasa mereka dalam Sentral REIT.
Menurut Sentral REIT, bilangan sebenar penempatan unit tidak boleh ditentukan pada ketika ini dan bergantung pada saiz penempatan sebenar dan harga terbitan penempatan unit, yang hanya boleh ditentukan selepas selesai pelaksanaan proses penetapan harga untuk cadangan penempatan.
Pengerusi Sentral REIT Management Sdn. Bhd., Tan Sri Saw Choo Boon berkata syarikat itu positif tentang prospek pertumbuhannya kerana ia meningkatkan jejaknya di Lembah Klang.

“Kami percaya bahawa PJ Sentral adalah kawasan perniagaan menarik dan utama yang terletak secara strategik di dalam Lembah Klang. Hartanah ini diduduki sepenuhnya dan ditambat oleh penyewa terkemuka, Celcom Berhad, di bawah pajakan jangka panjang.
Pengambilalihan ini akan mengembangkan lagi portfolio Sentral REIT dari segi pendapatan, campuran penyewa dan sebaran geografi, dan akan membolehkan ia menyampaikan pulangan yang stabil kepada pemegang unitnya,” ujar beliau.
Menurut beliau, peningkatan jumlah unit Sentral REIT dalam edaran hasil daripada cadangan penempatan juga dijangka meningkatkan kecairan dagangan dan kebolehpasarannya. - DagangNews.com








