Sephora perkenal sistem pembayaran mudah alih digital mPOS kepada pelanggan | DagangNews Skip to main content

Sephora perkenal sistem pembayaran mudah alih digital mPOS kepada pelanggan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Okt - Sephora Malaysia memperkenalkan sistem daftar keluar POS mudah alih (mPOS) di kesemua 17 cawangan di seluruh negara, menonjolkan komitmennya untuk mencipta pengalaman beli-belah terbaik buat para komuniti kecantikan.

 

Sephora KLCC merupakan cawangan pertama yang dikuasai mPOS, menggunakan terminal AMS1 yang direka oleh platform teknologi kewangan global Adyen. 

 

Sistem mPOS membentuk asas pengalaman pelanggan yang fleksibel secara sepenuhnya, membolehkan Sephora mencipta pengalaman beli belah yang lebih efisien dan lancar. 

 

Pengurus Negara Adyen Malaysia, Soon Yean Lee berkata, misi pihakya adalah untuk merapatkan jurang teknologi yang dihadapi oleh para peniaga dalam mencipta pengalaman berorientasikan pelanggan. 

 

"Sistem mPOS kami direka dengan teliti untuk membolehkan penyesuaian dan integrasi yang lancar dengan pengoperasian perniagaan yang sedia. 

 

"Dengan Sephora, kami teruja untuk memainkan peranan kami dalam membentuk semula landskap peruncitan kecantikan untuk mendefinisikan semula kecekapan dan pemperibadian buat para pelanggan" katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Sementara itu, Pengurus Negara Sephora Malaysia, Valerie Foong berkata, pihaknya mengalu-alukan pembukaan semula cawangan Sephora KLCC, yang mana merangkul masa depan dengan komitmen terhadap inovasi dan pengutamaan pelanggan. 

 

"Pembukaan semula cawangan Sephora KLCC mengotakan janji kami kepada komuniti kecantikan Malaysia, dengan menjanjikan pengalaman kecantikan luar biasa selaras dengan keperluan pelanggan kami yang sentiasa berkembang dan memperkukuh kedudukan Sephora selaku peruncit kecantikan terkemuka dunia," katanya.

 

Mengambil kira tingkah laku beli-belah pengguna, revolusi mPOS Sephora KLCC merupakan sebahagian daripada usaha yang lebih luas dalam melaksanakan penambahbaikan digital di dalam kedai yang menawarkan kemudahan kepada pelanggan. 

 

Terminal mobil AMS1 digunakan oleh penasihat kecantikan Sephora, membolehkan pelanggan menyelesaikan transaksi mereka dari mana-mana bahagian dalam kedai. Dengan ini, servis pembayaran mudah alih AMS1 akan mengurangkan kesesakan barisan daftar keluar secara berkesan.

 

Direka oleh Adyen, AMS1 merupakan terminal pegang tangan semua-dalam-satu yang membolehkan pemilik perniagaan untuk kekal mudah alih, boleh dipercayai, dan berpatutan. 

 

Beroperasi dengan sistem pengendalian Android, peranti ini dilengkapi dengan bateri tahan lama yang mampu bertahan sepanjang hari. 

 

Di samping memproses pembayaran serta-merta, peranti tersebut juga membolehkan para penasihat kecantikan untuk menyemak inventori dan ketersediaan sesebuah produk dengan segera. - DagangNews.com