Serap takaful dalam SIP untuk pekerja muslim | DagangNews Skip to main content

Serap takaful dalam SIP untuk pekerja muslim

 


Oleh DR. RAZLI RAMLI

 

Agenda keselamatan sosial sentiasa menjadi fokus utama negara. Dalam usaha membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan, erajaan telah melaksanakan sepenuhnya Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) pada 1 Januari 2019. 

 

Inisiatif yang ditadbir oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ini meliputi program penempatan semula pekerjaan, peningkatan kemahiran dan bayaran pampasan kehilangan pekerjaan. 

 

Untuk rekod, Perkeso juga menyediakan khidmat nasihat dan membantu para pekerja yang terlibat mencari pekerjaan baru di 54 cawangannya di seluruh negara.

 

SIP telah diwartakan di dalam Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 ini pada 2018. 

 

Sehingga sekarang sistem perlindungan yang disediakan melalui caruman berkanun SIP ini akan dilindungi oleh sistem insurans konvensional sahaja. 

 

Contohi simpanan syariah KWSP

 

Dalam pasaran kewangan negara, sistem perlindungan kebiasaannya akan dikendali oleh sistem insurans dan juga sistem takaful yang berasas kepada kehendak syariah. 

 

Oleh kerana rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, maka pilihan untuk memilih sistem perlindungan, melalui konsep insurans atau konsep takaful perlu diberikan kepada para pencarum dan majikan. 

 

Penyerapan konsep takaful ke dalam SIP adalah perlu, untuk memberi pilihan kepada para pencarum khususnya yang beragama Islam.

 

Melihat kepada sejarah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mereka juga telah menawarkan KWSP Syariah pada Ogos 2016. 

 

KWSP
KWSP memperkenalkan simpanan syariah pada 2016 dengan dana permulaan sebanyak RM100 bilion.

 

 

KWSP Syariah ini adalah caruman berkanun simpanan KWSP yang disimpan mengikut lunas kehendak syariah. Ia bertujuan untuk memberi pilihan kepada para pencarum memilih simpanan yang patuh syariah. 

 

Dana pencen itu telah memperuntuk RM100 bilion dana permulaan. Menurut lapuran KWSP, langganan akaun simpanan ini telah mencecah 60% pada hari terakhir pendaftaran.

 

Melalui kajian yang dilaksanakan, KWSP telah meminda Seksyen 43A, Akta KWSP 1991, bagi membolehkan simpanan KWSP dapat dilaksana menurut kehendak syariah seiring dengan simpanan konvensional sedia ada. 

 

Initiatif ini mendapat sambutan yang baik daripada para pencarum KWSP, terutama pencarum yang beragama Islam. 

Oleh itu, usaha untuk menyerapkan konsep takaful ke dalam operasi SIP dilihat suatu perkara yang boleh dilaksanakan. 

 


Manfaat kepada pencarum

 


Penyerapan konsep takaful ke dalam SIP ini boleh diwujudkan dengan melakukan sedikit pindaan terhadap Akta SIP 2017 sepertimana yang telah dilakukan di dalam Seksyen 43A, Akta KWSP 1991.

 

Konsep takaful dalam SIP akan memberi manfaat yang sama kepada pencarum seperti mana yang ditawarkan oleh SIP tanpa sebarang kos tambahan caruman. 

 

Ciri-ciri SIP ini jelas menunjukkan ianya selaras dengan maqasid (objektif) Syariah. Melalui konsep takaful, segala risiko akan ditanggung berdasarkan sistem takaful dengan menggunakan konsep ta’awun (bertolong bantu) sesama pencarum. 

 

Antara sebab-sebab utama SIP perlu diserapkan dengan konsep takaful; pertama, Takaful bertepatan dengan konsep objektif syariah (maqasid syariah) di mana para pekerja yang hilang pekerjaan akan diberikan bantuan kewangan segera yang halal dan toyyib bagi menampung kehidupan sementara mereka mencari pekerjaan baharu.

 

Sebab kedua, melalui takaful juga para pekerja berkenaan memperolehi bantuan perkhidmatan pekerjaan yang meliputi program kaunseling kerjaya, carian pekerjaan, pemadanan kerjaya, penempatan pekerjaan, kaunseling kerjaya dan latihan yang bakal menambahkan peluang mereka mendapat pekerjaan dengan kadar yang lebih pantas.

 

Ketiga, takaful juga bakal dijadikan pemangkin imej Malaysia sebagai hab kewangan Islam dalam perlindungan para pekerja yang kehilangan pekerjaan. 

 

Penyerapan konsep takaful ini akan dilihat sebagai tindakan yang syumul bagi melengkapi ekosistem ekonomi Islam di Malaysia.

 

Akhirnya, takaful juga akan memperkukuhkan persaudaraan sesama rakyat Malaysia atas dasar menikmati faedah perlindungan bersama kepada para pekerja yang berkontrak kepada konsep ta’awun (tolong-menolong). 

 


Beliau adalah Felo Adjung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan merupakan seorang ahli jawatankuasa Syariah di Bank Simpanan Nasional. - DagangNews.com

randau industri