Serba Dinamik, YBS, MPay, Asdion, Luster, KNM rancak diniagakan pagi ini  | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik, YBS, MPay, Asdion, Luster, KNM rancak diniagakan pagi ini 

 

 

KUALA LUMPUR 12 Julai - Bursa Malaysia diniagakan lemah pagi ini dengan indeks utama FBM KLCI susut 3.47 mata kepada 1,517.11 mata selepas dibuka tinggi pada 1,523.32 mata. 
 

 

Saham-saham aktif pula didahului Serba Dinamik Holdings Bhd. dibuka 4.4% lebih tinggi kepada 47.5 sen dalam dagangan pagi ini.

 

Ia diikuti YBS International Bhd., naik 16.9% kepada 41.5 sen manakala Managepay Systems Bhd. (MPay) menokok 4% kepada 26 sen dan KNM Group Bhd. turut didagangkan aktif dengan menokok 2.94% kepada 17.5 sen.

 

Bagaimanapun, saham Asdion Bhd. dibuka rendah, 21.69% kepada 32.5 sen diikuti Luster Industries Bhd., susut 2.7% kepada 18 sen. 

 

Selain kaunter-kaunter aktif, dagangan hari ini juga memberi tumpuan kepada saham Ibraco Bhd, Awanbiru Technology Bhd. (Awantec), Gas Malaysia Bhd., Kumpulan H & L High-Tech Bhd dan Top Glove Corp Bhd.

 

Malacca Securities Research dalam nota kajian berkata, minggu lalu FBM KLCI mengakhiri dagangan dengan positif apabila indeks utama kembali meningkat setelah mengalami kerugian dalam 5 sesi berturut-turut didorong aktiviti memburu saham yang aktif.

 

Namun, katanya, pelabur masih kekal berhati-hati disebabkan kekurangan petunjuk dan kebimbangan mengenai perkembangan politik serta kadar jangkitan COVID-19 yang tinggi, mungkin membayangi peningkatan kadar vaksinasi.

 

"Tetapi, pasaran akan menanti perkembangan data pengeluaran perindustrian dan jualan runcit yang akan dikeluarkan hari ini," tambahnya. - DagangNews.com