Shahril Ridza dilantik Pengerusi Axiata berkuat kuasa 1 Jan 2022 | DagangNews Skip to main content

Shahril Ridza dilantik Pengerusi Axiata berkuat kuasa 1 Jan 2022

Tan Sri Shahril Ridza

 

 

KUALA LUMPUR 7 Dis - Tan Sri Shahril Ridza dilantik sebagai Pengerusi Axiata Group Bhd. berkuat kuasa 1 Januari 2022 bagi menggantikan Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid yang akan bersara hujung bulan ini.

 

Pada 29 November lalu, Axiata mengumumkan pelantikan Shahril Ridza, 51, sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif dalam Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Izzaddin Idris berkata, bagi pihak Lembaga Pengarah dan pengurusan Axiata, mengucapkan terima kasih kepada Ghazzali atas sumbangannya kepada pertumbuhan kumpulan sejak penubuhannya pada 2008. 

 

"Malah, beliau merupakan Ahli Lembaga Pengarah paling berkhidmat dan telah mengemudi Axiata berdepan cabaran sehingga mencapai tahap yang tinggi selama ini.

 

"Pada masa sama, kami turut mengalu-alukan kedatangan Shahril Ridza sebagai pengerusi baharu dan menghargai setiap pengalaman, kepakaran dan rangkaian hubungannya yang, pastinya kami menantikan pandangan dan cabaran baharu yang menjadi inspirasinya," katanya dalam kenyataan hari ini.  

 

Ghazzali, 75, mula dilantik ke Lembaga Pengarah pada 24 Mac 2008 dan memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah pada 1 November 2018 berikutan tempoh singkat sebagai Pengerusi Interim dari pertengahan 2018.

 

Di bawah kepimpinannya, Axiata mengembangkan jejaknya merentasi 11 negara di rantau ASEAN dan Asia Selatan, bukan sahaja dalam perniagaan teras telekomunikasi mudah alih tetapi juga infrastruktur telekomunikasi dan perniagaan digital.

 

Sementara itu, Shahril Ridza yang sebelum ini adalah bekas pengarah urusan Khazanah Nasional Bhd., kini merupakan Pengarah Bukan Eksekutif Malaysia Airlines Bhd. dan Malaysia Aviation Group. - DagangNews.com