Siasat usaha penggabungan Celcom dan Digi - Fomca | DagangNews Skip to main content

Siasat usaha penggabungan Celcom dan Digi - Fomca

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 April - Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa pihak berkuasa negara untuk menyiasat usaha penggabungan dua syarikat telekomunikasi utama, Celcom Axiata Berhad dan DiGi.com Berhad.

 

Dalam masa sama, Setiausaha Agung merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Fomca, Paul Selvaraj mahu kepastian terhadap impak penggabungan itu ke atas kebajikan pengguna. 

 

Menerusi sebuah kenyataan di laman web Fomca, Selvaraj mempersoalkan sekiranya persaingan yang berkurangan di sektor telekomunikasi akan mendorong kepada harga yang lebih tinggi dan kualiti yang lebih rendah buat pengguna. 

 

“Dalam insiden serupa Malaysian Airline System (MAS) dan AirAsia (walaupun tidak bergabung sepenuhnya) menandatangani sebuah perjanjian kerjasama untuk berkolaborasi dan bukannya bersaing di laluan penerbangan.

 

Baca : Celcom dan Digi sah bakal bergabung jadi telco terbesar Malaysia

 

“Dengan persaingan yang berkurangan, pengguna akhirnya perlu membayar harga yang lebih tinggi dan mempunyai pilihan penerbangan sedikit. Ini merupakan kesan jelas daripada perkongsian pasaran yang mempunyai impak buruk ke atas kebajikan dan kesejahteraan pengguna,” jelas Selvaraj.

 

Tambahnya, penggabungan Celcom dan Digi akan menyebabkan penguasaan pasaran dan mengurangkan persaingan dalam sektor telekomunikasi. 

 

Baca : Digi ‘menang besar' gabung dengan Celcom - Firma

 

Menurut pakar, menerusinya, Celcom dan Digi akan meraih gabungan penguasaan pelanggan mudah alih sebanyak 67% dan 58% daripada perolehan, kata Selvaraj.

 

Ujar beliau, penggabungan Celcom dan Digi mungkin berada di bawah pengawasan kawal selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), yang dilaporkan mempunyai ‘kuasa’ untuk mencegah monopoli.

 

“Fomca meminta SKMM untuk memastikan bahawa siasatan menyeluruh dilakukan dan pengguna dilindungi daripada sebarang amalan monopoli. 

 

“Selain daripada ‘kuasa’ itu, SKMM harus mempunyai kehendak untuk melindungi pengguna daripada penguasaan pasaran yang tidak adil,” tegas beliau. - DagangNews.com