Sik Cheong sasar kumpul RM17.8 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi pengembangan produk | DagangNews Skip to main content

Sik Cheong sasar kumpul RM17.8 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi pengembangan produk

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Julai - Sik Cheong Bhd, syarikat pembungkusan semula, pemasaran dan pengedaran minyak sawit olein RBD, menyasarkan untuk mengumpul RM17.8 juta daripada pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO), menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Kumpulan itu berkata, penyenaraian itu melibatkan terbitan awam sebanyak 66 juta saham biasa baharu, mewakili 24.8% daripada modal sahamnya yang diperbesarkan, dan tawaran untuk penjualan 20 juta saham sedia ada, atau 7.5% daripada modal sahamnya yang diperbesarkan, melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Daripada 66 juta saham baharu, 13.3 juta saham akan disediakan kepadaorang ramai Malaysia melalui pengundian, empat  juta saham kepada pengarahnya yang layak, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan Sik Cheong manakala baki 48.7 juta saham dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

"Berdasarkan harga IPO 27 sen sesaham dan saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 266 juta saham, permodalan pasaran Sik Cheong semasa penyenaraian adalah kira-kira RM71.8 juta.

 

"Kumpulan itu akan memperuntukkan 40.3% atau RM7.2 juta bagi kemudahan pembungkusan termasuk pembinaan semula kilang no.9 dan pembelian mesin serta peralatan baharu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sik Cheong Bhd meterai penjanjian taja jamin dengan TA Securities untuk IPO di Pasaran ACE

 

"Selain itu,sejumlah RM900,000 diperuntukkan bagi pembelian trak penghantaran baharu dan mereka juga memperuntukkan 33.4% atau RM6 juta bagi modal kerja manakala baki 21.3% atau RM3.8 juta digunakan bagi menampung perbelanjaan penyenaraian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pengarah Urusan Sik Cheong, Wong Hing Ngiap berkata, permintaan terhadap produk minyak sawit olein sawit RBD terus meningkat dan pihaknya melihat potensi pasaran besar kerana minyak sawit menyumbang 76.7% daripada jumlah minyak sayuran yang dijual di Malaysia pada tahun lalu.

 

Beliau berkata, industri pembungkusan semula minyak olein sawit RBD di Malaysia diunjurkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 20.9% untuk mencecah RM12.8 bilion pada 2026.

 

"Dengan jangkaan hasil daripada IPO, kami boleh mempercepatkan rancangan pengembangan strategik kami dan menguasai bahagian pasaran yang lebih besar dalam industry. 

 

"Sebahagian besar hasil akan digunakan bagi menyediakan kemudahan pembungkusan baharu dengan membina semula kilang no.9 bersebelahan dengan kemudahan sedia dan ruang operasi kami akan bertambah 88.1% kepada sekitar 38,525 kaki persegi.

 

"Pembinaan semula ini akan memudahkan produk baharu kami – minyak kacang soya oleik tinggi, mewujudkan aliran pendapatan tambahan untuk kumpulan kami," katanya.

 

Sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan, Sik Cheong merancang meluaskan jangkauan geografinya melangkaui Kuala Lumpur dan Selangor ke negeri jiran seperti Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang untuk mendapatkan pangkalan pelanggan yang lebih besar.

 

Inisiatif ini akan disokong oleh pengembangan armada trak penghantarannya, memastikan penghantaran produk yang cepat dan boleh dipercayai, faktor utama dalam mengekalkan kelebihan daya saingnya. - DagangNews.com