BUTTERWORTH 23 Mac - SilTerra Malaysia Sdn Bhd kini merancang untuk memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan untuk manfaat ekosistem semikonduktor tempatan, sejurus melabur RM645 juta dalam pelan pengembangan untuk memulihkan syarikat.
Pengerusi Eksekutif Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, SilTerra telah menjalin kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) antara SilTerra, USM dan UTeM, serta Surat Hasrat (LoI) dengan UniMAP, pihak-pihak berkenaan akan membangun dan mempromosikan program pendidikan serta latihan untuk pembangunan bakat dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama yang disesuaikan dengan keperluan ekosistem industri semikonduktor di Malaysia.
“Berikutan pemeteraian MoU dan LoI hari ini, kami akan meneliti bajet tahunan sebanyak RM1.5 juta untuk pembangunan modal insan dan menawarkan 60 jawatan amali untuk ketiga-tiga universiti ini, di mana kami menyasarkan untuk mengambil sekurang-kurangnya 30 pelajar setiap tahun.
"Mengenai R&D, aspirasi kami adalah untuk melabur RM1 juta setiap tahun dan kami akan bekerjasama rapat dengan universiti ini untuk mengenal pasti projek yang berpotensi," katanya kepada media pada majlis menandatangani perjanjian di sini hari ini, Bernama melaporkan.
Turut hadir Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan, Timbalan Naib Canselor UTeM Prof Dr Ghazali Omar, dan Naib Canselor UniMAP Lt. Kol Prof Zaliman Sauli.
SilTerra, faundri wafer semikonduktor terbesar di Malaysia, memulakan perjalanan transformasinya tahun lepas selepas Dagang NeXchange Bhd (DNeX) memperoleh 60 peratus pegangan dalam SilTerra daripada Khazanah Nasional Bhd.
Syed Zainal Abidin, yang juga pengarah urusan kumpulan DNeX, berkata SilTerra sangat sibuk sejak lapan bulan lalu kerana ia menghadapi cabaran dalam industri semikonduktor.
"Fokus kami juga cuba meningkatkan kecekapan di kilang kami dan, sejak beberapa bulan lalu, kami telah mencapai hasil sebanyak 99 peratus, produktiviti kami bertambah baik," katanya sambil menambah bahawa pesanan tunggakan syarikat akan dijelaskan dalam tempoh enam hingga 12 bulan. - DagangNews.com