Sime Darby Plantation, UMS kaji pemulihan hutan di ladang sawit Sapong | DagangNews Skip to main content

Sime Darby Plantation, UMS kaji pemulihan hutan di ladang sawit Sapong

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Syarikat perladangan sawit, Sime Darby Plantation Berhad (SDP) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menandatangi perjanjian memorandum (MOA) untuk melaksanakan kajian ke atas hutan sekunder (secondary forest) yang terletak dalam lingkungan estet kelapa sawit SDP di Sapong, Sabah.

MOA berkenaan akan berlangsung selama lima tahun di mana kedua-dua pihak bekerjasama untuk mengkaji pemulihan biodiversiti, penyerapan karbon dan penambahbaikan ekosistem di tanah yang tidak diusik selama 40 tahun serta berukuran 282.21 hektar itu. 

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Huluan SDP, Roslin Azmy Hassan dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin.

 

Roslin Azmy Hassan
Roslin Azmy Hassan

 

Roslin Azmy berkata, usaha menentang penebangan hutan menjadi keutamaan utama di platform global dan SDP berkongsi keprihatinan dunia terhadap aktiviti haram tersebut.

“Kami tekad untuk memainkan peranan dalam memastikan hutan di dalam atau sekitar kawasan SDP kekal dilindungi dan ditambahbaik supaya kami dapat membantu memulihara serta meningkatkan biodiversiti di landskap subur ini.

“Seperti usaha kemampanan lain, kami tidak mampu lakukannya sendiri. SDP menghargai kerjasama yang dilakukan dengan organisasi serta institusi lain selama ini. Kami berbesar hati untuk menjalinkan kerjasama serupa dengan UMS pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak akan mendokumenkan kepelbagaian flora dan fauna untuk mewujudkan garis dasar yang membantu mengesan perubahan jangka panjang dalam kepelbagaian, menilai stok karbon di atas tanah, serta memantau kualiti air dan pengurusan sungai di lokasi itu.

Hasil daripada kerjasama itu akan digunakan untuk membentuk strategi pemulihan bagi menjadikan kawasan projek berkenaan sebagai sebuah model hutan Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCV) SDP. 

HCV merupakan kawasan yang terdiri daripada nilai biodiversiti penting dan menyediakan perkhidmatan asas bagi situasi kritikal termasuk kawalan hakisan atau landskap besar dengan habitat semula jadi atau jarang dijumpa, ekosistem terancam, serta memenuhi keperluan asas masyarakat tempatan dan sangat penting bagi tradisi dan identiti budaya mereka.

Kerjasama strategik itu seterusnya memberi panduan kepada usaha syarikat untuk mencapai rantaian bekalan minyak sawit tanpa penebangan hutan yang juga melindungi ekosistem di sekitar ladangnya.

 

Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin
Taufiq Yap Yun Hin

 

Dalam pada itu, Taufiq berkata, perjanjian tersebut merupakan bukti terhadap komitmen mereka untuk menterjemah pengetahuan ke dalam sebuah usaha yang dalam masa sama menangani masalah alam sekitar di Sabah. 

Projek itu telah dimulakan dengan beberapa inisiatif berterusan termasuk pemasangan 12 kamera perangkap di sekitar tanah projek untuk mengenal pasti spesis terancam (rare, threatened and endangered). 

Kumpulan penyelidik itu juga telah mengenalpasti tiga pendekatan pemulihan anak sungai yang merangkumi penanaman yang banyak, pertumbuhan semula jadi yang dibantu dan mewujudkan kawasan yang terkawal. - DagangNews.com