Sime Darby Property catat untung bersih RM60.7 juta pada 1QFY23 dipacu segmen perindustrian | DagangNews Skip to main content

Sime Darby Property catat untung bersih RM60.7 juta pada 1QFY23 dipacu segmen perindustrian

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 25 Mei - Sime Darby Property Berhad telah mencatat kenaikan keuntungan bersih sebanyak 17% kepada RM60.7 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) berbanding RM51.8 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan syarikat turut melonjak 43% kepada RM685.3 juta daripada RM480.3 juta pada tahun sebelumnya.

 

Jualan bagi suku dalam tinjauan ini berjumlah RM688.5 juta didorong terutamanya oleh segmen perindustrian yang telah menyumbang 55% atau RM376 juta, mengatasi segmen perumahan.

 

Sementara itu, prestasi tahun ke tahun (YoY) kumpulan itu menunjukkan segmen pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang pendapatan utama dengan merekodkan peningkatan 46.1% atau RM636.9 juta, berikutan kemajuan di perbandaran utama seperti Bandar Bukit Raja, Bandar Elmina, Nilai Impian, Elmina Business Park dan Hamilton Nilai City.

 

Pendapatan bagi segmen pelaburan dan pengurusan aset meningkat 3.9% YoY kepada RM26.2 juta manakala pendapatan leisure naik 15.5% YoY kepada RM22.3 juta.

 

“Syarikat melancarkan pelbagai projek baharu pada 1QFY23 dan telah memenuhi keperluan pasaran dengan produk-produk nilai pembangunan kasar (GDV) RM1 bilion yang terdiri daripada perumahan bertanah (58%), komponen perumahan bertingkat tinggi (29%) dan produk perindustrian (13%),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut syarikat itu, pencapaian jualan sebanyak RM688.5 juta bagi suku tersebut merangkumi 30% daripada sasaran jualan RM2.3 bilion untuk FY23, di mana 73% daripadanya atau RM500.9 juta adalah hasil daripada projek-projek yang dilancarkan sebelum FY23.

 

Syarikat itu mengekalkan jualan belum dibil yang kukuh sebanyak RM3.6 bilion pada 31 Mac 2023, yang memastikan penjanaan pendapatan untuk tiga tahun akan datang. Sementara itu, tempahan semasa berjumlah RM1.6 bilion setakat 7 Mei 2023.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata syarikat itu yakin terhadap prospek syarikat untuk 2023 memandangkan pelbagai saluran pelancaran dengan GDV RM3 bilion, termasuklah perumahan bertingkat tinggi dan perumahan bertanah, serta hartanah perindustrian.

 

 

Datuk Azmir Merican
Datuk Azmir Merican

 

 

“Syarikat akan menyampaikan 4,000 unit kediaman yang tersedia untuk dimiliki pada tahun 2023, hasil daripada prestasi memberangsangkan kami dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

 

“Oleh itu, kami akan menumpukan usaha pada penyampaian produk, pelaksanaan dan pengurusan projek, dan pengurusan kos yang cekap. Kami yakin dengan keupayaan kami untuk mencapai matlamat operasi dan kewangan kami untuk tahun ini,” tambahnya. -DagangNews.com