Sime Darby Property tekad laksana pemasangan solar atas bumbung di projek pembangunan perbandarannya | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sime Darby Property tekad laksana pemasangan solar atas bumbung di projek pembangunan perbandarannya

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Julai - Sime Darby Property Bhd tekad melaksanakan pemasangan rumusan solar atas bumbung untuk projek pembangunan perbandarannya bagi menyahut wawasan kerajaan untuk mencapai 70% kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, kumpulan itu berkata projek perintis akan dimulakan dengan 1,000 unit kediaman bertanah di Bandar Elmina, Shah Alam bagi menerajui perbandaran hijau dan pengurangan pelepasan karbon.

 

Dengan projek perintis yang berjaya, kumpulan itu berkata inisiatif tersebut mampu diperluaskan kepada 10,000 rumah miliknya pada masa hadapan untuk dilancarkan dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Kumpulan itu mengumumkan perkara tersebut susulan pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) Fasa 1.

 

“Penglibatan kumpulan dalam tenaga boleh diperbaharui ini mewujudkan pelbagai aliran sumber pendapatan dan membawa kepada era pertumbuhan yang mampan untuk Sime Darby Property dan pelabur kami,” ujar Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican.

 

 

Datuk Azmir Merican
Datuk Azmir Merican

 

 

Selain penjanaan tenaga, Azmir berkata ia akan mewujudkan ekosistem, di mana bekalan daripada bumbung rumah yang dibina oleh Sime Darby Property namun tidak digunakan sebelum ini dimanfaatkan untuk memenuhi permintaan tenaga hijau yang semakin tinggi.

 

Di bawah model ini, bumbung dipajak daripada pembeli rumah untuk pemasangan rumusan solar dan tenaga solar yang dijana di perbandaran tersebut diguna pakai oleh pengguna dengan permintaan tinggi dari sektor runcit atau perindustrian, tambahnya.

 

Pada masa hadapan, Sime Darby Property juga menjangkakan ladang solar berskala besar dibangunkan di atas tanahnya yang dianggarkan 404.7 hektar di Johor dan Kedah bagi mengimbangi keperluan permintaan di perbandarannya.

 

“Kami akan mengorak langkah seterusnya di perbandaran kami, dengan Sime Darby Property sebagai penjana utama tenaga solar untuk perbandaran sedia ada dan taman perindustrian, antara lain.

 

“Melangkaui sekadar usaha komersial, ini adalah usaha memperkasa masyarakat dan memainkan peranan penting dalam peralihan tenaga boleh diperbaharui yang bercita-cita tinggi di Malaysia,” tambah Azmir. - DagangNews.com