Sime Darby selesai pembelian 61.18% saham UMW Holdings berharga RM3.57 bilion | DagangNews Skip to main content

Sime Darby selesai pembelian 61.18% saham UMW Holdings berharga RM3.57 bilion

KUALA LUMPUR 13 Dis - Sime Darby Enterprise Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh tidak langsung Sime Darby Berhad berjaya menyelesaikan pengambilalihan 61.18% kepentingan dalam UMW Holdings Berhad pada harga RM3.57 bilion.

 

Susulan pengambilalihan itu, pegangan saham Sime Darby Enterprise dalam UMW telah meningkat daripada kosong kepada 714,813,100 saham.

 

"Oleh itu, UMW telah menjadi anak syarikat tidak langsung Sime Darby," kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Syarikat itu juga telah mencadangkan tawaran pengambilalihan mandatori bagi membeli semua baki saham UMW yang belum dimiliki oleh Sime Darby Enterprise dan Sime Darby selepas pengambilalihan.

 

Dalam makluman berasingan, Sime Darby mengumumkan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (GCFO), Mustamir Mohamad berundur daripada jawatannya untuk menyandang jawatan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW berkuat kuasa, hari ini.

 

Mustamir menggantikan Datuk Seri Ahmad Fuaad Mohd Kenali.

 

Sementara itu, Muhammad Noor Abd. Aziz yang sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Kewangan Sime Darby Motors dari September 2020 hingga Oktober 2023 akan menggantikan Mustamir sebagai Ketua Pegawai Kewangan Sime Darby.

 

Sementara itu, UMW berkata, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson dan Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob telah menyertai lembaga pengarahnya.

 

Sebaliknya, Kartini Abdul Manaf dan Ahmad Adib Mukhtar meletakkan jawatan mereka sebagai pengarah dan pengarah gantian berkuat kuasa hari ini. - DagangNews.com