Simmtech buka kemudahan pembuatan canggih pertama bernilai RM600 juta di Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

Simmtech buka kemudahan pembuatan canggih pertama bernilai RM600 juta di Pulau Pinang

Kilang baharu Simmtech di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang.

BATU KAWAN 9 Mei - Simmtech, pengeluar papan litar bercetak (PCB) dan substrat pembungkusan untuk semikonduktor yang berpangkalan di Korea Selatan, membuka kemudahan pembuatan termajunya yang pertama di Asia Tenggara di Pulau Pinang bagi memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat.

 

Pengarah Urusan Simmtech Asia Tenggara Jeffery Chun berkata kemudahan pembuatan di bawah anak syarikat Simmtech, Sustio Sdn Bhd itu dijangka memulakan penghantaran volum substrat pembungkusan dan produk PCB secara besar-besaran kepada pelanggan menjelang separuh kedua tahun ini. 

 

Chun berkata kemudahan seluas 7.3 hektar itu akan menjadi kilang kelapan kumpulan itu di samping operasi yang lain di Korea Selatan, China dan Jepun, Bernama melaporkan.

 

“Kilang Sustio di Pulau Pinang akan meningkatkan kapasiti  substrat dan PCB Simmtech sebanyak 20 peratus, yang akan menyumbang dengan serta-merta bagi memperbaiki keadaan kekurangan bekalan industri semikonduktor yang boleh menangani keperluan dalam kalangan pemain industri dengan lebih berkesan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

 

Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow merasmikan majlis pembukaan kilang Sustio di sini, yang turut dihadiri duta Korea Selatan ke Malaysia Lee Chi Beom, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Lim Bee Vian dan penasihat pelaburan khas kepada Ketua Menteri Datuk Seri Lee Kah Choon.

 

Chun berkata kilang baharu bernilai RM600 juta di Taman Perindustrian Batu Kawan itu boleh menghasilkan sehingga 60 juta substrat dan dua juta papan PCB setiap bulan.

 

“Sustio telah pun menggaji lebih 700 tenaga kerja untuk kemudahan Pulau Pinang dan ia akan mencapai tenaga kerja penuh lebih 1,000 pekerja menjelang tahun depan,” katanya.

 

Beliau berkata pembukaan kilang Sustio tepat pada masanya untuk peralihan teknologi ingatan capaian rawak dinamik (DRAM) baharu (DDR5).

 

"Kami telah pun berinteraksi dengan pelanggan utama kami untuk program kelayakan tapak baharu dan kami akan meningkatkan tapak baharu ini terutamanya untuk
pelanggan DRAM dan NAND kami di seluruh dunia," katanya.

 

Simmtech diasaskan di Korea Selatan pada 1987 dan mencatatkan hasil jualan lebih RM4 bilion tahun lepas dengan kira-kira 4,000 pekerja di seluruh dunia. - DagangNews.com