KUALA LUMPUR 14 Jun - Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd mengumumkan pelantikan Simon Sun sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharunya.
Sun akan bertanggungjawab menetapkan strategi dan matlamat organisasi syarikat, mengekalkan tumpuan pelanggan pada setiap peringkat komunikasi dengan pihak berkepentingan, dan memastikan syarikat menerapkan nilai terasnya dalam semua perkara yang dilakukannya.
Katanya, ia adalah tempoh transformatif untuk Huawei Malaysia dan beliau teruja diberi peluang untuk mengetuai pasukan di sini.
"Huawei Malaysia komited dalam perjalanan transformasi digitalnya dan berjanji untuk bekerjasama dengan kerajaan, pelanggan dan rakan kongsi kami di sepanjang rantaian nilai untuk mengembangkan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan memacu pembangunan ekonomi digital.
"Bersama-sama, saya pasti bahawa kita dapat membantu setiap industri berkembang maju dalam dunia pintar, yang mana mereka dapat menyampaikan pengalaman pintar, menjana nilai lebih cepat dan mencapai pertumbuhan mampan. Saya bangga menjadi sebahagian daripada perjalanan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tidak asing dengan syarikat itu, Sun telah menerajui Huawei Korea dari 2020 sebelum menyertai Huawei Malaysia.
Dengan kerjaya yang menjangkau lebih 17 tahun di Huawei, jawatan lain yang pernah disandang beliau, termasuk pengarah di Huawei Indonesia dan Huawei Filipina.
Beliau juga memegang Ijazah Sarjana Kejuruteraan Sistem Elektrik dan Komputer dari Universiti Monash, Australia. - DagangNews.com